Mangsa gempa bumi di Nepal, Prakash Basyal menceritakan detik cemas untuk melindungi isterinya yang baru sahaja menjalani pembedahan Caesarean sebelum berlaku bencana itu. -Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
KATHMANDU: Apabila berlaku bencana secara tiba-tiba di sekeliling kita, perkara pertama yang terlintas di fikiran sudah tentulah untuk melarikan diri ke tempat selamat.
Namun perkara ini tidak 'disuntik' dalam fikiran Prakash Basyal, 31, yang merupakan salah seorang mangsa gempa bumi di Nepal pada 25 April lalu.
Ketika ramai menjerit dan berlari bertempiaran untuk mencari tempat selamat tatkala bumi 'bergoncang' di negara Himalaya ini, Prakash tidak melarikan diri.
Malah pada ketika itu, dia tidak berganjak keluar selangkah pun dari tempat dia berada ketika itu iaitu di sebuah bangunan hospital di Kathmandu.
Rasional Prakash pada ketika itu hanya satu: Dia sedar punya tanggungjawab sebagai suami untuk melindungi isterinya Amrita Basyal, 31, yang baru sahaja bersalin melalui pembedahan Caesarean 24 jam yang lalu.
Dia memeluk tubuh isterinya dengan erat untuk memastikan tiada satu pun serpihan bangunan mengenai insan tersayang.
“Saya menunggu di dalam bangunan itu selama sejam,” kata Prakash.
Walaupun pada ketika itu dalam hatinya gundah gulana risau keadaan bayinya yang berusia satu hari di hospital yang lain, namun dia berdoa agar keadaan mereka sekeluarga selamat.
Bayinya yang bernama Joy dilahirkan dalam keadaan pra matang dengan berat hanya 1.2kg berada di Hospital Patan kerana pada ketika itu hanya hospital itu mempunyai mesin sokongan inkubator bayi.
Sudah pasti hati Prakash bertambah sayu memikirkan bagaimana keadaan anak pertamanya itu kerana pada ketika itu tenaga elektrik terjejas akibat gempa bumi dan Joy sangat memerlukan mesin sokongan inkubator bayi untuk teruskan hidup.
Hanya mampu berdoa kepada Tuhan mengenai keselamatan anaknya, Prakash terus fokus untuk melindungi isterinya di wad pembedahan Caesarean tingkat tiga bangunan itu.
"Hanya kami berdua berada di wad pembedahan ketika gempa bumi itu. Isteri saya sangat risau tentang keselamatan bayinya.
"Ketika berada dalam situasi berbahaya, saya sedar satu perkara yang penting. Jika kami ada masa untuk berlari menyelamatkan diri, kami pasti akan lari.
"Namun, jika kita ada tanggungjawab, kita perlu laksanakannya. Isteri saya ada ketika itu dan saya perlu menjaga isteri saya selama satu jam sehingga keadaan reda.
"Dan dalam masa satu jam, saya tidak keluar dari bangunan itu," jelas Prakash ketika menceritakan situasi yang membimbangkan itu.
Selepas bumi berhenti bergoncang, serpihan batu-bata bangunan jatuh dan bertaburan, debu-debu meresapi setiap inci kulit, Prakash mendukung isterinya keluar dari hospital itu.
"Selepas satu jam dan semua kembali normal, ketika itu saya keluar bersama isteri saya. Dan sejurus selepas itu, saya terus lari dan pergi melihat keadaan anak saya. Syukur semuanya berada dalam keadaan baik.
"Isteri saya mengalami tekanan darah tinggi sebelum berlaku gempa bumi lagi, namun dia seorang wanita yang tabah. Walau berada dalam situasi yang sangat sukar, iaitu gempa bumi berlaku sehari selepas dia menjalani pembedahan Caesarean, dia sangat tabah menghadapinya.
"Dia pula berkata kepada saya pada detik cemas gempa bumi itu bahawa kesemuanya akan baik-baik sahaja. Dia seorang wanita yang tabah, saya sangat gembira menjadi suaminya," jelas Prakash yang kini selamat bersama isterinya dan disatukan semula dengan anaknya, ketika menceritakan detik cemasnya bersama isteri kepada Astro AWANI di Hospital Patan pada 10 Mei.
Anaknya ketika ini berada di dalam sebuah mesin inkubator Hospital Patan untuk pemantauan dan pemerhatianlebih rapi memandangkan keadaan bayi pramatang ini sangat lemah.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment