Sunday, 19 April 2015

Yatt dan suami temui cinta baharu

YATT Hamzah (kanan) bersama suami, Abdul Mutalib Abdul Shukor (kiri) dan anak mereka, Suci Hanania Malika, 5, pada majlis kesyukuran sempena ulang tahun keenam perkahwinannya dan sambutan hari lahir anaknya di Casa Club, Kampung Batu Muda, di sini, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara Yatt Hamzah berkongsi perkhabaran gembira yang beliau dan suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, menemui cinta baharu hasil lawatannya ke Syria, baru-baru ini bagi menjayakan misi kemanusiaan di sana.

Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 35, berkata beliau enggan menoleh dan mengulas berhubung kisah lalu kerana berpendapat pergolakan rumah tangganya sudah menemui noktah.

"Sehari selepas saya memfailkan perceraian, saya dan suami telah berlepas ke Syria selama 10 hari. Alhamdulillah kami berdua muhasabah diri dan diberikan cinta yang baharu. Keperitan hidup masyarakat di sana sedikit sebanyak membuka mata saya, yang mana kebanyakan wanita bergelar ibu tunggal bukan kerana bercerai tetapi kematian suami. 

"Banyak yang saya belajar sepanjang berada di sana dan muhasabah diri menjadi insan yang lebih baik. Pengalaman menjejakkan kaki ke sana tanpa jaminan hidup memberi semangat untuk mengajar banyak perkara," kata Yatt dalam nada sebak ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena ulang tahun keenam perkahwinannya dan sambutan hari lahir anaknya di Casa Club, Kampung Batu Muda, di sini, hari ini.

Pergolakan rumah tangga Yatt dan suaminya menjadi bualan hangat apabila tersebarnya perkhabaran Yatt memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2009 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Suci Malika Hanania, lima tahun.

Yatt berkata, beliau banyak bermuhasabah diri dan kini memperbaiki hubungan rumah tangganya.

"Doakan yang terbaik buat kami sekeluarga. Saya ingin tutup buku kisah pergolakan rumah tangga kami serta saya sedar hanya dia lelaki terbaik yang telah ditakdirkan untuk saya," katanya mengakhiri perbualan.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment