Sunday, 19 April 2015

'Tun M, jadi bekas PM bukan lesen untuk hentam Najib' - Lokman Adam


LOKMAN ADAM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihat tidak menggunakan kedudukannya sebagai bekas perdana menteri untuk menghalalkan tindakannya menghentam Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa juga isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Lokman Noor Adam berkata, Dr Mahathir seharusnya dilihat membantu Najib sebagai perdana menteri dengan memberi tunjuk ajar selain mencurahkan semua pengalamannya membangunkan negara dan bukan menuduhnya dengan pelbagai isu.

"Generasi muda seperti saya mengharapkan orang tua, bekas perdana menteri dan seorang yang banyak berjasa seperti Dr Mahathir sanggup mengetepikan kepentingan peribadinya dan meletakkan kepentingan parti dan negara mengatasi segala-galanya.

"Sepatutnya Dr Mahathir gunakan ilmu, pengalaman dan kematangan yang dia ada untuk mengukuhkan parti, bukan dengan membiarkan kata-katanya dijadikan modal untuk dipenuhkan di laman utama portal dan akhbar milik pembangkang.

"Menjadi seorang bekas perdana menteri yang tua serta banyak berjasa tidak menghalalkannya untuk melanyak Najib hingga lumat kerana tidak mahu mengikut caranya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Lokman mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai kemaafannya kepada Najib atas kegagalan projek jambatan bengkok, sebaliknya mahu Najib menjawab isu berhubung kehilangan wang akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tegas Lokman, tiada pihak boleh menganggap Dr Mahathir seorang yang sempurna dan maksum selain tidak boleh ditegur dalam apa juga situasi.

"Jika ada yang beranggapan bahawa orang tua, bekas perdana menteri dan orang yang banyak berjasa itu maksum dan tidak boleh ditegur, maka berlaku adillah dan terimalah juga pandangan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang pernah kecewa terhadap Dr Mahathir.

"Jadi apa yang diluah Tunku Abdul Rahman sama dengan apa yang dialami Najib dan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kini," jelasnya.

Dalam pada itu kata Lokman, nada Dr Mahathir juga dilihat berlainan apabila ditanya mengenai kemungkinan untuk kerjasama dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dilaporkan di sebuah portal.

"Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan Dr Mahathir bekerjasama dengan veteran UMNO, Tunku Razaliegh Hamzah dan Anwar untuk menjatuhkan Najib dan Dr Mahathir menjawab 'tidak tahu'.

"Bagaimana pula Dr Mahathir boleh jawab 'tidak tahu' sedangkan jawapannya sepatutnya adalah 'No way'," jelasnya.

Dr Mahathir pada Ahad dilaporkan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik untuk menjatuhkan Najib.

Katanya, kebimbangannya pada masa kini adalah hala tuju UMNO terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Sebelum ni, Lokman meminta Dr Mahathir menghormati pentadbiran Najib dan tidak menghentam perdana menteri untuk mencari pengaruh serta populariti demi kepentingan keluarga sendiri.

Jelasnya, ‎pelbagai pertikaian Dr Mahathir kepada Najib disifatkan tindakan terdesak yang mempunyai maksud tersirat selain memenuhi impian politik peribadi. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment