KHAIRUDDIN: 'Saya bukan 'budak suruhan' Tun M' -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak diminta tidak mempertikai hubungan baik bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kebelakangan ini dilihat semakin lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tegas Khairuddin, dia bukan budak suruhan Dr Mahathir namun memberi sepenuh kepercayaan kepada bekas Perdana Menteri itu terhadap setiap tindakannya.
"Kalaulah saya budak suruhan Dr Mahathir, rasanya sudah lama saya menjadi menteri kabinet atau tokoh korporat yang menjaga GLC selama 22 tahun Dr Mahathir memimpin negara.
"Malangnya, saya tidak mempunyai langsung semua yang disebutkan, malahan kini status saya diisytiharkan sebagai muflis.
"Dr Mahathir tidak memerlukan ahli UMNO kerdil di peringkat akar umbi seperti saya untuk berjuang. Dia boleh berdikari seorang diri untuk berjuang bagi menegakkan kebenaran khususnya bagi membela bangsa, agama mahupun tanah air," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairuddin mengulas pembabitannya yang tersebar di dalam gambar perjumpaan ibu bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar, Piah Samad dengan Dr Mahathir di Putrajaya.
Di dalam pertemuan itu, Piah meluahkan perasaannya terhadap apa yang terjadi kepada anaknya selain tidak menafikan Sirul menjadi mangsa keadaan dan dikambing hitamkan di dalam isu berkenaan.
Selain Khairuddin, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar turut kelihatan di dalam gambar pertemuan berkenaan.
Ujarnya, persepsi segelintir masyarakat yang menganggapnya sebagai budak suruhan Dr Mahathir merupakan dakwaan yang tidak masuk akal sama sekali.
"Dr Mahathir adalah seorang tokoh negarawan terulung yang amat berpengaruh serta disayangi rakyat jelata.
"Perjuangan Dr Mahathir hanyalah memperhambakan dirinya kepada bangsa, agama dan tanah air. Hakikatnya saya bukan budak suruhan Dr Mahathir, tetapi seorang warganegara yang taat, setia, kasih serta amat sayang terhadap Dr Mahathir sama seperti yang lain.
"Saya tidak pernah menerima habuan daripada Dr Mahathir, tetapi kesetiaan yang tidak berbelah bahagi saya terhadapnya amat utuh lagi kukuh kerana prinsip perjuangan Dr Mahathir yang ikhlas kepada negara," katanya.
Kata Khairuddin lagi, harapannya dan Dr Mahathir kini sama iaitu untuk mempertahankan negara daripada anasir yang mahu melihat kejatuhan kerajaan ke tangan yang tidak sepatutnya.
"Mulai saat dan detik ini saya tak perlu gusar lagi. Biarlah apa saja persepsi yang cuba dicipta oleh kalangan minda lemah ini, saya akan tetap berdiri teguh di samping Dr Mahathir untuk berjuang secara habis-habisan bagi menyelamatkan negara ini daripada kehancuran bangsa Melayu.
"Katalah apa saja persepsi dari kalangan minda lemah ini kerana dalam prinsip perjuangan saya hanya mempercayai Dr Mahathir.
"Apa saja tindakan saya selama ini adalah atas dasar prinsip perjuangan. Dr Mahathir tidak pernah menyuruh saya buat itu dan ini.
"Kenapa saya tidak mempunyai hak untuk berjuang seiring dengan Dr Mahathir? Kenapa saya tak boleh kelihatan secara terbuka bersama tokoh pemimpin milik rakyat ini?" jelasnya.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment