Friday, 20 February 2015

Tangki 400 gelen air timpa bilik tidur


PUCHONG – “Rasa sedih sangat sebab tak dapat sambut Tahun Baru Cina di rumah ini selepas tangki air jatuh dari siling menimpa bilik tidur pada 25 November lepas,” kata pemilik sebuah unit kediaman mewah di Taman Aman Sari, Teresa Low.

Katanya, sikap pemaju yang enggan memberi maklum balas berhubung insiden berlaku selain kerosakan belum dibaiki menambahkan lagi kesedihan keluarganya yang kini terpaksa mendiami rumah lain.

Mengimbas kembali insiden yang menyebabkan siling rumah di tingkat satu dan dua diresapi air, Teresa berkata, dia bernasib baik kerana tiada sesiapa di rumah ketika itu.

Bagaimanapun, kejadian berkenaan menyebabkan dia kerugian hampir RM100,000 apabila banyak peralatan elektrik mengalami kerosakan.

Apa yang dikesalkan, pemaju seolah-olah lepas tangan dan hanya menjanjikan pampasan sebanyak RM5,000 atas kejadian yang didakwanya boleh menyebabkan risiko keselamatan sekiranya dia berada di rumah ketika itu.

“Saya dah kerugian ratusan ribu ringgit apabila banyak barang rosak. Kontraktor beritahu kalau nak baiki semua ni mungkin babitkan kos hampir RM250,000,” katanya.

Suaminya, Leong Sonnie, 69, berkata, pada hari kejadian, dia yang pulang ke rumah di Taman Aman Sari, di sini kira-kira jam 10.25 pagi terkejut melihat air mencurah-curah bagaikan air terjun melimpah dari tangga rumah tiga tingkat yang dibeli pada 2006.

Cemas melihat insiden itu, Leong bergegas menutup meter paip utama sebelum ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya terkejut lihat tangki yang berisi hampir 400 gelen air terletak di atas siling bilik tidur jatuh ke lantai. Memang teruk,” katanya.

Sementara itu, Adun Kinrara, Ng Sze Han yang menerima aduan itu berkata, akibat kejadian, jiran berhampiran rumah mangsa kini diselubungi keresahan bimbang kejadian sama berlaku di kediaman mereka.

Katanya, perkara itu memang mengejutkan kerana ia membabitkan kediaman mewah.

“Saya difahamkan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan meminta perunding pemaju kemukakan laporan mengenai apa yang berlaku.

“Ia berkemungkinan berpunca daripada reka bentuk atau jenis material digunakan untuk menyokong tangki tersebut di bahagian siling,” katanya.

Beliau turut menasihatkan 142 pemilik kediaman sama melakukan pemeriksaan di tangki masing-masing untuk mengelakkan kejadian berulang.

Sementara itu, wakil Jabatan Bangunan MPSJ, Mohd Safiee Junun berkata, perunding pemaju perlu mengemukakan laporan mengenai kaedah pembaikan, status keadaan terkini dan punca bagaimana kejadian berlaku.

Arahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 71 Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK 258 Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

“Siapa yang akan tanggung kos pembaikan diputus selepas laporan diteliti, majlis akan minta perunding pemaju untuk jalankan pemeriksaan di rumah-rumah lain di kawasan ini sebagai tindakan pencegahan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment