Friday, 20 February 2015

Rayuan tomboi mangsa rogol


JOHOR BAHRU - Meskipun berperwatakan tomboi, ia tidak mampu mengatasi naluri keibuan yang menebal seorang wanita sebaik dia melahirkan bayi lelaki lebih 10 hari lalu, meskipun menyedari ia bukan daripada ikatan yang sah.

Kisah malang Ain (bukan nama sebenar), 33, bermula selepas dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki berstatus suami orang dalam kejadian di sebuah rumah yang tidak diketahuinya, awal tahun lalu.

“Saya kenal dia, malah kami menetap di kampung sama. Saya dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu disaksikan dua rakan lelaki tersebut.

“Pada saat kejadian hitam itu, saya hanya fikir untuk tidak diapa-apakan dan dapat pulang ke rumah.

“Selepas insiden itu, saya tidak pernah bersua dengannya meskipun mengetahui saya hamil anaknya kerana saya tidak mahu ada sebarang ikatan dengannya,” katanya yang ditemui penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam Operasi Mawar Merah, di sebuah hotel murah, di sini.

Ain turut merayu supaya tidak dikenakan tindakan kerana cuba menyembunyikan kelahiran bayi lelaki itu selepas didakwa menjadi mangsa rogol tahun lalu.

Katanya, meskipun mengetahui risiko yang bakal ditanggungnya, dia tekad mahu memelihara anak yang dilahirkan secara normal itu malah ibu bapanya mengetahui kelahiran bayi tersebut.

Tegasnya, dia sayangkan bayinya dan mahu menjaganya sendiri meskipun ada beberapa kenalan yang mahu mengambil anak itu sebagai anak angkat.

“Biarlah saya yang jaga sendiri tanpa susahkan orang lain apatah lagi kedua ibu bapa saya kerana saya ingin berubah demi bayi ini,” katanya.

Ain tidak berhasrat pulang ke rumah orang tuanya, kerana tidak mahu mengaibkan mereka.

- Sumber: Sinar Harian 

    No comments:

    Post a Comment