SUYADI: Kedua-dua lokasi itu berjaya dikesan menggunakan alat pengesan dasar laut dari kapal Pacitan dan sudah ditandakan. -Gambar fail
JAKARTA: Misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 dilaporkan telah menemui lokasi kokpit dan badan pesawat di Laut Jawa semalam.
Penemuan tersebut menambah lagi hasil pencarian berikutan dua serpihan pesawat juga telah ditemukan di pesisir pantai Sulawesi Selatan, lapor media Indonesia.
Pengarah Operasi Badan SAR Nasional (Basarnas), Suyadi Bambang Supriyadi, memberitahu, kedua-dua lokasi itu berjaya dikesan menggunakan alat pengesan dasar laut dari kapal Pacitan dan sudah ditandakan.
Menurut Suyadi, sejumlah 68 penyelam menyelam di kedua-dua lokasi itu bermula pagi tadi bagi memeriksa sama ada terdapat mayat mangsa yang boleh dikeluarkan.
Selain itu, sebanyak sembilan kapal akan membantu proses pemindahan, iaitu empat kapal Basarnas, dua kapal Kementerian Perhubungan, dua tongkang Pemerintah Kotawaringin Barat, dan kapal Crest Onyx.
Suyadi menambah, pasukan SAR Bersepadu di Sulawesi Selatan juga menemukan dua serpihan pesawat QZ8501 di pantai wilayah Pinrang.
Hanyut 900 kilometer
Dalam perkembangan berkaitan, satu jasad yang dipercayai mangsa nahas QZ8501 telah ditemukan di pantai wilayah Majene, Sulawesi Barat semalam oleh seorang pemungut rumpai laut. Majene terletak sekitar 900 kilometer dari lokasi jatuhnya pesawat.
“Jasad ditemukan sekitar pukul 11.30 waktu tempatan,” ujar Ketua Pejabat SAR Makassar Roki Asikin mengenai jasad tanpa identiti yang terdampar di pantai dalam keadaan reput itu.
Dilaporkan, jasad yang kanak-kanak itu telah dipindahkan ke hospital umum di Majene sebelum diterbangkan ke Surabaya untuk proses pengecaman.
Sehingga petang semalam, sejumlah 76 mayat termasuk 35 daripadanya lelaki telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
- Sumber: Agensi
No comments:
Post a Comment