Rozali menunjukkan saman dari MPPP yang diterimanya kerana kesalahan meletakkan kenderaan rasmi Ketua Menteri.
GEORGETOWN - Pemandu khas Ketua Menteri Pulau Pinang tampil menjelaskan berhubung kesalahan kereta rasmi itu diparkir sebelah pili bomba yang menjadi viral dalam media sosial kelmarin.
Rozali Ishak, 54, berkata, ketika kereta itu diparkir, dia berada dalam kenderaan itu kerana semua kotak parkir di hadapan Dewan Perniagaan Cina penuh.
“Pada hari kejadian, saya menghantar Ketua Menteri ke Dewan Perniagaan Cina untuk menghadiri sebuah majlis. Bagaimanapun, semua kotak parkir berdekatan sudah penuh dan saya kemudiannya bergerak ke Lebuh King untuk parkir di sana. Saya akui, memang saya parking di sana tetapi saya tidak tinggalkan kereta di situ, saya berada di dalam kereta
untuk menunggu Ketua Menteri.
“Pada waktu itu, saya nampak seseorang mengambil gambar kereta tetapi hanya membiarkan sahaja kerana saya bukannya tinggal kereta itu sebaliknya menunggu di dalam kereta,” katanya kepada media semalam.
Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Rozali sudah menerima saman dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dikeluarkan semalam.
Guan Eng turut meminta agar perkara itu tidak diperbesarkan sebaliknya meminta media menumpukan pada isu besar yang lain.
“Sebelum ini saya ada nyatakan, jika ada yang tidak kena, kita akan minta MPPP ambil tindakan. Tetapi media janganlah menjadikan isu parkir ini satu isu yang besar. Banyak lagi isu besar yang boleh ditulis dan dilaporkan. Saya hairan, banyak isu penting lain, mengapa isu parkir kereta saya diperbesarkan pula. Rozali menjadi pemandu saya sejak 2008 dan dia tidak mempunyai sebarang masalah.
“Saman sudah dikeluarkan MPPP dan pemandu saya sudah terima saman berkenaan.
"Ia menunjukkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang adalah sebuah kerajaan yang cakap serupa bikin selain tidak mengamalkan pilih kasih (double standard).
"Kita juga sebuah kerajaan yang menegakkan undang-undang, apa yang dijanjikan, kita tepati,” katanya.
Guan Eng turut menyindir beberapa orang pemandu khas kepada menteri yang didakwa melakukan perkara sama namun tidak dilaporkan media.
“Kereta rasmi menteri lain pun ada yang parkir di tempat yang tidak dibenarkan tetapi mengapa tidak dijadikan viral?
“Saya mohon agar media tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ apabila menulis laporan berita,” katanya.
Terdahulu, kereta Guan Eng jenis Mercedes Benz S300L dengan nombor pendaftaran PG1 sekali lagi dijadikan viral dan dikecam teruk dalam media sosial berikutan pemandunya meletakkan kereta itu bersebelahan pili bomba di Lebuh King.
Sebelum ini, kereta Guan Eng pernah menjadi viral di internet kerana diparkir di lorong basikal di hadapan Depoh Hin Bus di Jalan Gurdwara.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment