Ahmad Zahid bersalaman dengan Dutton semasa menerima kunjungan Menteri Imigresen dan Kawalan Sempadan Australia itu, di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis.
PUTRAJAYA: Kerajaan Australia akan 'menimbang' semua permohonan ekstradisi, termasuk melibatkan Koperal Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan kerana membunuh, kata seorang menteri Australia.
Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan, Peter Dutton berkata perkara berkaitan Sirul Azhar itu ditimbulkan pada perjumpan beliau dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Khamis.
Dutton bagaimanapun, menegaskan bahawa perkara itu melibatkan proses undang-undang yang ketat.
Ketika mengesahkan kepada wartawan bahawa penghantaran pulang Sirul Azhar adalah antara topik yang dibangkitkan pada perjumpan dengan Ahmad Zahid, Dutton berkata: "Perkara ini boleh memakan masa yang panjang. Kami menghormati sepenuhnya negara anda, kedaulatan undang-undang anda. Namun, ia perlu melalui satu sistem undang-undang yang amat ketat."
Sirul Azhar ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan, ketika mengubah keputusan Mahkamah Rayuan, mendapatinya dan Cif Insp Azilah Hadri, bersalah kerana membunuh model sambilan Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006.
Mahkamah Persekutuan kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar.
Pada 20 Jan, Sirul Azhar dilaporkan ditangkap pihak berkuasa imigresen di Queensland, Australia, kerana melakukan kesalahan imigresen.
Laporan itu juga menyebut bahawa dia ditahan di pusat tahanan imigresen.
Pada 16 Jan lepas, the Sydney Morning Herald melaporkan bahawa kerajaan Australia tidak akan melayan permintaan kerajaan Malaysia supaya menghantar balik Sirul Azhar.
Undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seseorang itu diekstradisi bagi menghadapi kesalahan yang membawa hukuman mati.
Dutton juga dihujani soalan oleh pemberita tentang bagaimana Sirul Azhar boleh membuat dan menerima panggilan telefon berikutan dakwaan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa beliau berjaya menghubungi bekas anggota unit tindakan khas itu.
Dutton berkata beliau tidak dapat menyatakan sama ada mana-mana individu di Malaysia telah menelefon Sirul Azhar.
"Itu sesuatu yang saya tidak dapat sahkan atau nafikan," katanya.
Isnin lepas, Mahfuz membuat pengesahan di hadapan para wartawan tempatan dan antarabagsa bahawa beliau berjaya menghubungi seorang individu, yang mendakwa dirinya sebagai Sirul Azhar, setelah mencuba sebanyak 15 kali untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia akan membuat permohonan agar Sirul Azhar dihantar pulang dari Australia atau mengatur pertukaran banduan dengan negara itu.
Menjawab soalan pemberita sama ada Malaysia akan mengemukakan permohonan itu, beliau menjawab: "Ya. Mungkin. Kami mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Australia."
Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas Dutton beredar dari tempat perjumpaan mereka.
Malaysia memuktamadkan perjanjian ekstradisi dengan Australia pada 2006.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment