Ini merupakan imej terbaru Zamani. - Sumber Foto Johan Azi
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Slam, Zamani dibebaskan dengan jaminan polis pagi Sabtu selepas ditahan reman berkaitan kes dadah pada Rabu lalu.
Menurut peguam penyanyi itu, Zamani sedang menunggu perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Ampang yang ditetapkan pada pagi Selasa ini.
“InsyaAllah beliau sudah bersedia untuk perbicaraan kes Selasa ini," kata Johan Aziz, ketika dihubungi Astro AWANI dihubungi di sini, hari ini.
Apabila ditanya tentang keadaan penyanyi itu, Johan berkata Zamani berada dalam keadaan ceria namun perlu berehat sebanyak mungkin.
"Dia 'okay'. Saya telah menasihatkannya untuk berehat kerana sebelum ini beliau agak ‘tension’,” jelas Johan.
Beliau turut mengesahkan bahawa Zamani membuat keputusan untuk tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video penahanannya ketika berada di dalam lokap sehingga menjadi viral di laman sosial.
Sebelum ini, video berdurasi 81-saat itu memaparkan penyanyi ‘Gerimis Mengundang’ itu dalam keadaan duduk dan tangan bergari. Video tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna laman sosial sehingga ada yang bersimpati dengan nasib penyanyi berusia 43 tahun itu.
“Itu biar polis siasat dan ambil tindakan. Bagi pihak Zamani, beliau tidak akan buat apa-apa tindakan,” katanya.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment