Zamani (Slam)
"SAYA minta maaf kepada semua dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya selama ini,” demikian kata-kata yang dipetik lahir daripada bibir bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani pada satu sidang media hari ini.
Pengurus Zamani, Johan Aziz ketika dihubungi Sinar Online memberitahu, pelantun lagu Sang Pari-pari itu kini dibebaskan di bawah jaminan polis berazam untuk pulih dan tidak akan mengulangi sejarah hitam hidupnya.
“Sekarang ini, dia sudah dibebaskan. Buat masa ini, dia hanya mahu berehat. Tapi dia minta maaf atas apa yang berlaku. Dia berjanji akan cuba memperbaiki diri dan bebaskan diri dari belenggu dadah,” katanya.
Menurut Johan, pihaknya dan keluarga kini berusaha mencari jalan yang terbaik untuk memulihkan keadaan penyanyi berusia 43 tahun itu.
“Dia sendiri mahu berubah dan sekarang ini kami dan keluarga masih berbincang untuk membantunya,” katanya lagi.
Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, ditahan bersama seorang wanita berusia 33 tahun yang turut positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira pukul 12.30 pagi tadi pada Rabu lepas.
Penyanyi popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 & Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kediaman penyanyi tersebut telah diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya sebelum ditahan.
Hasil pemeriksaan, satu paket plastik disyaki dadah jenis Heroin seberat 1.2 gram ditemui di dalam salah sebuah bilik di kediaman penyanyi itu.
Soal siasat awal mendapati suspek (Zamani) mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah jenis Syabu dan Heroin selama 10 tahun.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment