Saturday, 24 January 2015

Muflis akibat kad pengenalan hilang

  • Jason (tiga, kiri) bersama Kim Chai (dua, kanan) menunjukkan laporan polis dan dokumen sokongan yang telah diseleweng bagi pinjaman kenderaan mewah.
  • Jason (tiga, kiri) bersama Kim Chai (dua, kanan) menunjukkan laporan polis dan dokumen sokongan yang telah diseleweng bagi pinjaman kenderaan mewah.

JOHOR BAHRU – Malang buat seorang pembantu kedai kopi apabila dia bukan hanya menanggung hutang puluhan ribu ringgit malah turut diisytiharkan muflis.

Mangsa, Gan Kim Chai, 40, yang menghidap sindrom lembam terpaksa menanggung hutang bank sebanyak RM123, 610 bagi pinjaman kenderaan terpakai jenis Honda Accord di atas namanya.

Dia yang dua kali kehilangan kad pengenalan pada 2003 dan tahun lalu mendakwa dokumen tersebut telah diselewengkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Gaji saya kurang RM1000 sebulan, mana mampu beli kenderaan mewah, perkara ini telah dirujuk dengan pihak bank, namun hasil siasatan mendapati salinan dokumen bagi pinjaman tersebut menggunakan nama dan nombor pengenalan milik saya namun ditukar gambar dan alamat.

“Dokumen sokongan juga bukan milik saya,” katanya kepada pemberita bersama Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam,  Jason Teoh di Kelab Media Cina, Taman Maju,  di sini.

Kim Chai yang diwakili adiknya, Gan Ah Hock, 35, kerana tidak fasih bercakap kesal apabila disahkan muflis oleh mahkamah pada 29 Disember lalu.

“Kita telah tiga kali merujuk perkara ini dengan pihak bank dan mendapatkan pengesahan Bank Negara, Jabatan Pendaftaran Negara selain tindakan susulan ke mahkamah, namun hasilnya sangat menghampakan.

"Semakan mendapati tandatangan salinan perjanjian bank serta dokumen penyata gaji juga bukan milik saya malah penyeleweng juga didapati membayar ansuran bulanan RM 1282 selama 16 bulan," katanya.

Sementara itu, Jason berjanji akan membantu mangsa memberi khidmat guaman percuma selain menggunakan saluran MCA.

“Kami akan tulis surat ke bank, Ketua Polis Johor mengenai status siasatan, meneliti kes ini dengan lebih terperinci kerana dengan jelas bukti-bukti yang dikepilkan telah disalahgunakan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment