Tuesday, 6 January 2015

Toyota Hilux ditambah baik untuk 2015

Elok sahaja trak 4x4 mendapat status kenderaan ‘hero’ kerana kebolehannya meredah keadaan mencabar di lokasi-lokasi banjir di Malaysia sekarang ini, UMW Toyota Motor (UMWT) mengeluarkan varian Hilux yang ditambahbaik untuk tahun 2015.


Antara kelainan yang diberikan adalah lampu DRL, kerusi kulit (untuk varian 2.5G automatik); penambahan varian TRD Sportivo dan kunci tambahan untuk tayar gantian terpasang di bawah kenderaan, iaitu satu langkah yang dibuat bedasarkan permintaan pengguna yang tinggi.

Selain itu, varian Hilux 3.0G dan 2.5G diberikan roda aloi warna kelabu gelap baharu, grafik di sisi (seperti gambar di atas), fabrik rekaan baharu untuk 2.5G manual; dan juga tint keselamatan premium Toyota yang mengikuti piawaian JPJ. Ia juga tidak menggangu penggunaan SmartTag ketika di plaza tol.

Untuk Hilux 3.0G, 2.5G AT dan TRD Sportivo, sebuah pam tayar mudah alih akan disertakan sebagai peralatan standard. Pam ini adalah pilihan jika untuk varian-varian Hilux 2.5G MT, double cab dan single cab.

Hilux 2015 ini juga boleh disertakan sekali dengan sistem DVD-AVN yang mempunyai fungsi kamera undur, ketersambungan dengan telefon pintar (Android dan iOS) menerusi Bluetooth atau WiFi. Sudah tentu, ia juga mempunyai fungsi sistem navigasi GPS yang dipaparkan di atas skrin sentuh 7 inci.

Jika tidak, pilihan kedua aksesori unit audio adalah sistem DVD-AVX dengan kamera undur, USB dan fungsi bebas tangan menerusi Bluetooth. Skrin sentuhnya bersaiz 6.1 inci. Navigasi GPS tidak disertakan sekali.

Hilux TRD Sportivo

Pembeli boleh memilih antara varian 3.0G (AT) ataupun 2.5G (AT), kedua-duanya disertakan dengan bodykit yang direka khas oleh pihak TRD untuk memberi rupa yang lebih ranggi serta keunikan berbanding varian Hilux yang lain.

Selain itu, ia juga dilengkapkan dengan lampu DRL, aloi berwarna hitam, kemasan kabin kulit dan panel dalaman dengan corak gentian karbon. Sebuah palang ‘sport’ yang diperbuat daripada bahan ABS juga boleh dipasang pada bahagian belakang pikap ini. Kesemua peralatan TRD Sportivo ini turut mendapat liputan waranti sepertimana komponen lain yang terpasang pada Hilux ini.

Dan sepertimana model-model lain yang dijual UMWT, Hilux 2015 (termasuk varian TRD Sportivo) diberikan waranti 3 tahun / 100,000km.

Harga untuk varian TRD Sportivo bermula daripada RM105,622.20; manakala untuk double cab pula bermula daripada RM87,722 hingga RM109,967. (Harga untuk Semenanjung Malaysia, pemilik persendirian, metalik). 2.5 MT single cab pula berharga RM77,248.20. (Semenanjung Malaysia, pemilik persendirian, bukan metalik)

- Sumber: Astro Publication

No comments:

Post a Comment