Anggota BASARNAS mengusung mayat yang berjaya dibawa keluar daripada lokasi nahas pesawat QZ8501
PANGKALAN BUN: Kerajaan Indonesia hari ini mengarahkan pegawai penerbangan digantung kerja ekoran penyiasatan terhadap nahas udara yang melibatkan pesawat AirAsia QZ8501 selain berjanji akan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat penerbangan domestic yang melanggar permit terbang mereka.
Tindakan keras itu hadir sewaktu operasi mencari dan menyelamat masuk hari kesembilan yang menyaksikan cabaran getir yang dihadapi oleh pasukan SAR akibat cuaca yang tidak menentu dan membantutkan operasi mencari lebih banyak mangsa dan kotak hitam penerbangan yang penting untuk mengenal pasti punca nahas tersebut.
Hanya tiga mayat berjaya dibawa keluar pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 37. Seramai 162 penumpang dan kru penerbangan berada dalam pesawat tersebut yang terhempas sewaktu dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.
Pihak Indonesia mendakwa pesawat itu tidak mendapat izin untuk terbang. Kementerian Perhubungan telah mengarahkan pihak lapangan terbang dan pengurus penerbangan udara untuk “menggantung kakitangan yang terlibat” dengan aktiviti yang melibatkan pesawat tersebut, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia, Djoko Murjatmodjo kepada pemberita.
AirAsia Indonesia telah digantung kebenaran untuk terbang dari Surabaya ke Singapura walaupun pegawai penerbangan di Singapura telah memberikan kebenaran tersebut.
Murjatmodjo berkata mereka akan menamatkan mana-mana syarikat penerbangan lain yang melanggar jadual penerbangan yang dibenarkan negara itu termasuk yang tidak mempunyai rekod keselamatan yang bersih.
"Jika selepas penilaian ada syarikat penerbangan lain yang tidak terbang mengikut jadual yang diluluskan, ia jelas satu pelanggaran undang-undang dan kita akan mengambil tindakan.," kata Murjatmodjo, sambil menambah yang mereka sedang menyiasat bagaimana AirAsia boleh terbang pada jadual yang tidak diluluskan tanpa pengetahuan Kementerian .
- Sumber: AFP
No comments:
Post a Comment