- Khairul Azwan (dua, kiri) berbual dengan Nur Naszira (dua, kanan) dan ibu mertua, Kamaliah Ali (tiga, kiri) ketika mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Tanjung Jambu.
KUALA LIPIS - “Hampir luluh hati saya setelah mendengar berita abang terbabit dengan kemalangan dan meninggal dunia. Namun, saya terima dugaan ini dengan penuh kekuatan dan berdoa kepada ALLAH agar abang ditempatkan dalam kalangan para salihin."
Demikian luah Nur Naszira Nordin, 22, yang terpaksa menerima hakikat bahawa suaminya yang amat disayangi, Mohd Shazwan Kamarizan, 26, yang baharu dikahwini selama tiga bulan telah pergi buat selama-lamanya.
Menurutnya, arwah Mohd Shazwan telah terbabit dengan kemalangan jalan raya berdekatan laluan Bentong ke Kuala Lumpur pada 29 Disember tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Putrajaya.
Jenazah arwah selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Tanjong Jambu, di sini selepas Asar hari sama ketika keluarganya masih bergelut dengan musibah banjir apabila kediaman mereka turut dinaiki air.
“Abang (Mohd Shazwan) yang bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan swasta di Putrajaya bertegas mahu pulang pada hari berkenaan untuk bekerja selepas menziarahi saya dan keluarganya ditimpa banjir di sini.
“Abang juga tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebelum kejadian dan hanya sentiasa bergurau walaupun dalam keadaan mereka ditimpa musibah banjir,” katanya di Kampung Tanjong Jambu di sini, semalam.
Nur Naszira berkata demikian semasa dia dan keluarga Mohd Shazwan antara mangsa banjir kampung Tanjong Jambu, Lipis yang dikunjungi Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun.
Turut menziarahi keluarga itu, Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pemuda Umno Lipis, Mohd Farid Mohd Noor dan Ketua Pemuda Cameron Highlands, Wan Kamarul Nahar Wan Mustaffa.
Nur Naszira yang bekerja di sebuah Taska di Putrajaya berkata, dia mengumpulkan segala kekuatan untuk menghadapi situasi yang hebat itu, malah reda dengan ketentuan ALLAH lebih-lebih lagi masih tertekan dengan musibah banjir.
“Sepanjang tempoh tiga bulan hidup bersama arwah, abang sentiasa menyuburkan kasih kasih sayang dalam melayari rumahtangga kami.
“Alhamdulillah, ALLAH beri pinjam seorang insan yang baik dan amat penyayang lagi bertanggungjawab terhadap isteri (saya) cuma dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Sementara itu, Khairul Azwan meminta Nur Naszira dan keluarga Mohd Shazwan tabah menghadapi dugaan yang hebat itu semasa musibah (banjir) dan perlukan kekuatan iman dalam saat pilu berkenaan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment