Thursday, 1 January 2015

Tag nama dijumpai bersama mayat wanita berpakaian pramugari AirAsia



Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Indonesia, Sunu Widyatmoko turut sahkan bahawa antara tujuh mayat mangsa yang ditemui, salah seorangnya adalah pramugari AirAsia.

KUALA LUMPUR: Antara tujuh mayat mangsa nahas pesawat Air Asia Indonesia QZ8501, salah satunya adalah mayat wanita berpakaian pramugari dengan tag nama tersemat di pakaian seragamnya.

Jasad mangsa wanita tersebut dijumpai pada Rabu dengan tag nama ‘Khairunisa Haidar’ serta mengenakan cincin di jari manis dan jam tangan berjenama Alexandre Christie.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Indonesia, Sunu Widyatmoko telah mengesahkan bahawa antara tujuh mayat mangsa yang ditemui, salah seorangnya adalah pramugari AirAsia.

Namun beliau tidak dapat memastikan identiti dan nama mangsa.

“Benar, kami mendapat informasi bahawa dari tujuh jasad mangsa yang ditemui, salah seorangnya adalah kru kami – seorang pramugari. Mengenai identiti mangsa, kami masih menunggu keputusan pengecaman dari pihak berkuasa,” katanya kepada portal Kompas.com.

Kata Sunu lagi, buat masa ini isu gantirugi belum lagi dibincangkan, kerana pihak AirAsia hanya menumpukan dalam urusan pencarian dan pemindahan mangsa.

Untuk rekod, Khairunisa Haidar Fauzi atau Nisa, merupakan seorang daripada tujuh kru pesawat QZ8501 yang disahkan terhempas di Selat Karimata perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

Dalam satu temubual Astro AWANI bersama rakan baik Nisa, Widya Rahmayuni Sipon ada menceritakan antara kenangan manis sejak 12 tahun bersahabat.

Kata Widya, detik-detik terakhir, Nisa ada memuat naik foto dengan kata-kata 'I Love you From 38,000 ft' serta foto sayap pesawat di media sosial yang membuat dirinya tertanya-tanya.

Pesawat Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi. 

Penumpang pesawat itu terdiri daripada warga Indonesia seramai 149 orang, Korea Selatan (3), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masing seorang).

Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment