Thursday, 1 January 2015

Peminjam serbu kaunter PTPTN elak senarai hitam

  • Kaunter PTPTN sesak diserbu peminjam yang ingin melunaskan pembayaran pinjaman yang tertunggak di Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK
  • Kaunter PTPTN sesak diserbu peminjam yang ingin melunaskan pembayaran pinjaman yang tertunggak di Shah Alam hari ini. 

SHAH ALAM – Kaunter di pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) cawangan Selangor di Seksyen 14 Shah Alam hari ini penuh sesak diserbu peminjam yang ingin melunaskan pembayaran pinjaman yang tertunggak selama ini. 

Rata-rata peminjam yang ditemui akui bimbang disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Raheemie Arifin, 27 berkata, meskipun bekerja pada hari ini, dia ‘memaksa’ diri untuk hadir ke kaunter bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan.

“Saya datang hari ini sebab saya tahu CCRIS. Saya dah tahu sejak dua minggu lepas.

“Tapi mungkin hari ini ada kelapangan sedikit walaupun tak banyak tapi kena datang juga disebabkan tak mahu nama disenarai hitam,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Begitu juga dengan peminjam, Mohd Hafiz Shamon, 25, yang bimbang tersenarai hitam dalam CCRIS hingga menyusahkan urusan masa depan termasuk membeli rumah.

“Seperti yang kita dimaklumkan melalui akhbar kalau tak bayar sehingga 31 Disember 2014 ini akan disenarai hitam.

“Nak elakkanlah sebab kita orang muda nanti susah nak beli rumah dan sebagainya,” katanya.

Manakala Lili Fazlena Mukhayen, 33, berkata, proses pertukaran kepada pembiayaan Ujrah tidak sesukar yang didengarnya sebelum ini malah boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Saya datang hari ini sebab tak nak tersenarai hitam. Sudah diberi peluang untuk selesaikan masalah ini.

“Sebelum ini saya dengar susah sangat untuk uruskan Ujrah, tapi sebenarnya taklah seteruk yang dikatakan,” katanya.

Afidah Abdullah Sani, 33, pula berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya memandangkan mempunyai masa luang pada hari ini.

“Sebab hari ini hari terakhir dan saya luang, jadi saya datang sebab tanggungjawab juga dan takut (disenarai hitam),” katanya.

Sementara itu, Devika Santi Mohd Yusof, 23, akui kekangan masa menyebabkan proses pertukaran kepada Ujrah belum dilakukan sebelum membuat bayaran balik.

“Saya bekerja jadi tiada masa untuk membayar balik pinjaman ini. Sebab proses ini untuk tukar kepada Ujrah (perlu ke kaunter),” katanya.

Senada dengannya, Mohd Nazry Rosli, 30, berkata, ekoran kesibukan bekerja dan masalah keluarga, dia masih tidak menyelesaikan tanggungjawab tersebut.

“Dalam dua bulan ini saya sibuk sedikit, terpaksalah hari ini ambil cuti untuk datang ke sini.

“Dalam tempoh dua bulan ini ada ahli keluarga meninggal kemudian isteri kemalangan, jadi, saya perlu uruskan semua,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan seramai 558,475 peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman akan disenaraikan di dalam CCRIS dengan kerjasama Bank Negara, mulai 1 Januari 2015.

Namun katanya, pada peringkat permulaan penyenaraian itu akan membabitkan 173,985 peminjam tegar, iaitu mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik melebihi tiga tahun daripada tarikh pembayaran sepatutnya dibuat.

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini, peminjam PTPTN yang ingkar akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, dan sewa beli.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment