Friday, 30 January 2015

Peringatan: Angin kencang dijangka hingga Selasa

KUALA LUMPUR - Angin kencang Timur Laut (kategori pertama) dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor, Sarawak, Kudat, pantai barat dan pedalaman Sabah termasuk Sandakan dari Ahad hingga Selasa ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, keadaan angin pada kelajuan sama turut dijangka melanda Labuan dan Sulu mulai esok hingga Selasa ini, manakala di Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Kuching mulai Ahad hingga Selasa ini.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang sedang melanda kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Selasa, katanya.

Menurut jabatan itu, ribut petir dengan angin kencang berkelajuan 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter di perairan Selangor dan Mukah, Bintulu dan Miri di Sarawak juga dijangka berterusan sehingga petang ini.

Sementara ribut petir di perairan Reef South dijangka berterusan sehingga petang ini dengan angin kencang berkelajuan 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

- Sumber: Bernama | Januari 30, 2015

No comments:

Post a Comment