Friday, 30 January 2015

Muzikal Rock Oo! Konsert Reunion PGL bakal gegar Istana Budaya

Muzikal Rock Oo!, Konsert Reunion PGL bakal gegar Istana Budaya 2015. 

2015 pasti menjadi tahun yang dinanti-nantikan buat peminat seni pentas tanah air dengan Istana Budaya bakal membawa kelainan pada tahun ini sempena Tahun Festival Malaysia (MyFest 2015).

Antara pementasan yang bakal menarik perhatian ramai tahun ini termasuk konsert penyatuan semula daripada pementasan Puteri Gunung Ledang, muzikal dari filem popular Rock Oo!, teater Kena Main arahan seniman Khalid Salleh, dan dramatari popular Indonesia Matah Ati.

Turut bakal menjadi sebutan ramai adalah sebuah muzikal yang diangkat daripada kisah hidup penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan sebuah karya terbaru terbitan Enfiniti Vision Media yang berjudul Spirit of the Lotus.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pengaturan jadual-jadual persembahan di Istana Budaya lebih mengikut tema perayaan-perayaan utama.

“Pada awal tahun ini, kita telah pun membuka tirai pentas Istana Budaya dengan Muzikal Tahajjud Cinta – Sirah Rasulullah sempena Maulidur Rasul.

"Selepas itu, sebuah muzikal cina, Guan Yin Pusa pula diadakan sempena Tahun Baru Cina pada Februari nanti,” kata Juhari ketika ditemui Astro AWANI selepas Pelancaran Program Istana Budaya 2015.

Tambah beliau, sebagai langkah untuk lebih mengharmonikan hubungan Malaysia – China ekoran tragedi MH370, Istana Budaya berhasrat untuk mengangkat tiga produksi besar dari China sebagai menyokong hubungan diplomasi antara kedua-dua negara tersebut yang telah terjalin sejak 40 tahun lampau.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika berucap semasa pelancaran tersebut mengumumkan Konsert Teaterikal Suara Kita yang menggabungkan tiga artis ternama negara, Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain meraih kutipan tertinggi sebanyak RM1.2 juta lantas menjadi konsert terlaris pada tahun lalu.

“Konsert Search Live in Istana Budaya 2014 juga berjaya mengutip RM1 juta dan ini merupakan lakaran sejarah bagi konsert oleh artis tempatan di Istana Budaya,” katanya.

Tambahnya lagi, Muzikal Supermokh pula antara produksi yang paling banyak mendapat tajaan sejak 14 tahun Istana Budaya beroperasi iaitu sebanyak 16 penaja.

Nazri juga berkata bagi musim ini, seiring dengan MyFest 2015, Istana Budaya mensasarkan 50% pementasan akan diberi kepada produksi tempatan dan antarabangsa juga sebanyak 50%.

“Penyeimbangan produksi tempatan dan antarabangsa ke arah menjadikan seni sebagai industri kepada para penggiat seni tanah air terutamanya golongan muda,” katanya lagi.

Pementasan produksi seni dari luar negara sudah pasti dapat menarik minat pelancong dan khalayak dari negara-negara ASEAN khususnya Singapura, Brunei, Indonesia dan lain-lain.

Ini selaras dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini yang dijangka mampu menyemarakkan perkembangan rantaian ekonomi negara dan juga sektor pelancongan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment