JOHOR BAHRU - Sebuah beg berwarna merah yang ditinggalkan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau, di sini jam 12 tengah hari semalam menimbulkan suasana panik apabila ia dikhuatiri mengandungi bom.
Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, majikannya terpaksa menghubungi polis selepas mendapati ada sebuah beg ditinggalkan seorang lelaki yang sebelum itu berhenti untuk pam tayar.
Menurutnya, ketika kejadian hanya ada tujuh pekerja termasuk ahli keluarga majikan berada dalam premis berkenaan, manakala di luar premis ketika itu tidak ada pelanggan.
“Majikan bimbang beg berkenaan mengandungi bom lalu segera menghubungi polis.
“Kami diminta supaya mengosongkan premis selepas menghubungi pihak polis,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai sebuah beg yang ditinggalkan di sebuah stesen minyak berkenaan.
Menurutnya, pihaknya telah mengambil langkah keselamatan dan selepas pemeriksaan dibuat mendapati tiada apa-apa ancaman kerana di dalam beg berkenaan hanya mengandungi pakaian.
“Unit Pemusnah Bom dipanggil untuk membuat pemeriksaan bagi menentukan benda itu selamat.
"Mungkin beg itu tertinggal kerana sebelum itu ada seorang lelaki yang berhenti mengisi angin.
“Tiada apa-apa yang berlaku dan tiada apa-apa ancaman kerana beg itu hanya dipenuhi pakaian sahaja,” katanya.
Jalan Tebrau menghala ke Kota Tinggi berdepan dengan bangunan City Plaza di sini ditutup lebih kurang dua jam, namun laluan bertentangan masih dibuka untuk laluan pengguna jalan raya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment