AG (kiri) dan Scha Alyahya bakal mengacarakan AJL 29 yang berlangsung Ahad ini di Stadium Putra, Bukit Jalil. Gambar kecil, Nurhul Huda Khalid.
KUALA LUMPUR: Dua kontroversi membabitkan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29, Alyah dan Mojo yang melanda ketika ini dinafikan pihak produksi acara berkenaan sebagai gimik yang dicetuskan sendiri TV3 sebagai stesen penyiar.
Sebelum ini hangat apabila vokalis asal Mojo iaitu Aweera disingkirkan Edry selaku penulis lagu Romancinta yang bertanding di AJL 29.
Terbaru kisah peribadi Alyah dengan suaminya, Datuk Ramli MS turut menggemparkan industri hiburan tanah air.
Alyah mempertaruhkan lagu Sesal Separuh Nyawa di AJL 29 yang mana liriknya ditulis beliau sendiri bersama Shah Shamshiri.
Ramli pula bertindak sebagai pengarah muzik untuk acara berkenaan yang akan berlangsung Ahad ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Menurut Nurhul Huda Khalid selaku Penerbit Eksekutif AJL 29, TV3 tiada kena mengena langsung dengan apa saja kontroversi berbangkit.
"Tetapi apa yang timbul itu secara tidak langsung menimbulkan kelebihan dan rasa keinginan yang tinggi untuk mengetahui apa yang bakal terjadi pada acara kemuncak ini nanti. Contohnya siapa yang akan menggantikan Aweera? Ia masih menjadi rahsia saat ini.
"Alyah juga akan ditunggu-tunggu persembahan beliau, apakah konsentrasi dia akan terganggu dengan apa yang terjadi ini. Apa pun yang berlaku antaranya dengan Ramli, mereka kena profesional kerana masing-masing berjuang dengan cara tersendiri untuk acara AJL 29 ini.
"Apa yang berbangkit ini di luar kawalan kita dan acara tetap akan berjalan seperti yang dirancang sedari awal. Kita tak pernah mencipta kontroversi sebegitu tetapi ia sudah terjadi. Kita nantikan sajalah malam kemuncak AJL 29 Ahad ini," katanya.
Menurut Nurhul Huda lagi, persiapan sudah melepasi 70 peratus menjelang malam kemuncak.
"Hari ini pun sedang berlangsung sesi bacaan skrip membabitkan hos, Scha Alyahya dan AG. AJL 29 mengangkat tema Gema Dalam Muzik yang merujuk kepada kombinasi instrumen atau alat muzik yang menjadi nadi utama kepada persembahan malam Ahad nanti.
"Secara keseluruhannya ia gambaran kepada gabungan pelbagai alat muzik contohnya seperti penggunaan dua dram dan dua gitar pada persembahan pembukaan. Ia gambaran kepada instrumen kecil tetapi akan jadi besar dan bergema bila setiap satu instrumen itu dipakai dalam kuantiti yang banyak
"Esok mula akan bermula raptai bersama orkestra dan Khamis serta Jumaat sudah bermula sesi ujian suara.
"Selain finalis yang berentap turut ada persembahan artis undangan termasuk segmen Interlud menampilkan anggota asal Headwinds menyanyi lagu secara medley selama 10 minit," katanya.
Giliran Persembahan AJL 29:
* Malaikat (Omar K/Mike Chan/Hazama The Penglipurlara)
* Percayalah (Aiman/Mohd Atlas/Indah Ruhaila)
* Sesal Separuh Nyawa (Alfie Alwi&Aidil/Shah Shamshiri&Alyah/Alyah)
* Gadis Jelebu (DJ Fuzz/ Waris/Datuk Hattan
* Romancinta (Edry Abd Halim/ Edry Abdul Halim/Mojo)
* Rentak Lagu (Sam Bunkface/Sam Bunkface/ Bunkface&Amy Search)
* Matahari (Ajai/Transformer Melayu/Hafiz Suip).
* Gilalah (Omar K/ Mike Chan/Stacy)
* Di Pintu Syurga (Tam/Iman Imran/Dayang Nurfaizah)
* Apa Khabar (SonaOne&Joe Flizzow/Joe Flizzow/SonaOne&Joe Flizzow)
* Lelaki (Yuna/AG Koko/Najwa Mahiaddin bersama The Palauans)
* Masih Aku Cinta (Shila Amzah)
- Sumber: Berita Harian online
No comments:
Post a Comment