- Khairul Anwar Rahmat
SHAH ALAM – Pihak berkuasa perlu jelaskan kehilangan Koperal Sirul Azhar Umar, yang semalam dihukum mati bersama Cif Inspektor Azilah Hadri oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, lapan tahun lalu.
Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, penjelasan ini penting untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat terhadap kontroversi kes itu.
Menurutnya, kes itu berprofil tinggi dan menjadi perhatian umum dan sepatutnya pihak bertanggungjawab pastikan dia hadir ke mahkamah.
“Ketika di peringkat (akhir) ini, tertuduh seharusnya tidak dibiarkan bebas ke luar negara.
“Walaupun di peringkat sebelumnya (Mahkamah Rayuan) mereka dibebaskan, namun tertuduh sudah tahu kes itu akan disebut Mahkamah Persekutuan.
"Maka perkara ini boleh dipersoalkan, kenapa tertuduh tiada dalam pemerhatian polis dan kenapa pendakwa tidak membuat permohonan untuk menahan pasportnya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mahkamah Persekutuan semalam, mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan apabila mendapati Sirul Azhar, 43, dan Azilah, 38, bersalah membunuh Altantuya dan mengembalikan hukuman mati terhadap mereka.
Menurut Khairul Anwar, kehilangan Sirul Azhar itu bakal mengundang pelbagai prejudis dalam kalangan masyarakat umum dan boleh dianggap aneh.
“Mahkamah Persekutuan adalah kemuncak kepada sistem keadilan di negara ini. Seharusnya pergerakan tertuduh dibatasi kerana pada peringkat ini, kita akan dapat keputusan sama ada tertuduh bebas sepenuhnya atau bersalah sepenuhnya. Mereka hanya boleh bebas dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong (selepas itu).
“Sekiranya insiden tertuduh hilang lagi dalam kes-kes besar seperti ini, dibimbangi akan memberi gambaran tidak baik dalam sistem kehakiman negara,” katanya.
Beliau turut berharap pihak berkuasa memastikan sama ada Sirul Azhar ke luar negara secara sah atau haram bagi menjelaskan kepada masyarakat apa sebenarnya yang berlaku.
Sirul Azhar, dipercayai berada di luar negara dan gagal pulang untuk mendengar pertuduhan akibat ketiadaan wang untuk balik ke tanah air.
Seorang lagi peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, mengikut undang-undang, tiada sekatan ke atas mana-mana tertuduh yang dibebaskan oleh mahkamah untuk ke luar negara.
Menurutnya, mahkamah tiada hak menahan pasport Sirul Azhar dan menghalangnya ke mana sahaja kerana dia telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, Sirul Azhar perlu hadir apabila kesnya dibicarakan.
“Tiada masalah untuk ke luar negara, tetapi apabila kes dipanggil ke perbicaraan, Sirul Azhar perlu bertanggungjawab hadir.
“Apabila tidak hadir, dia boleh dikenakan waran tangkap oleh mahkamah,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment