Sunday, 28 December 2014

Pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura dilapor hilang

Sebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.

Pesawat QZ8501 itu terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan, menurut kenyataan syarikat penerbangan tersebut.

“AirAsia Indonesia mengesahkan penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura telah terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 0724 pagi ini.

“Pada ketika ini, kami tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung status penumpang dan kru pesawat.”

Dalam perkembangan sama, Direktor Angkutan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia, Djoko Murjatmojo mengesahkan pesawat tersebut hilang dalam pemantauan radar.

"Ketika ini saya berada di menara kawalan untuk menunggu laporan yang masuk."

Pihak kementerian, menurutnya, akan memberikan keterangan rasmi berhubung kehilangan pesawat AirAsia tersebut.

Penerbangan QZ8501 itu menggunakan pesawat Airbus 320 dengan nombor pendaftaran PK-AXC.

Pesawat membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada jam 5.20 pagi dan sepatutnya mendarat di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Sejurus sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu dilaporkan meminta laluan berbeza.

Sebuah stesen TV Indonesia melaporkan pesawat tersebut membawa 149 rakyat Indonesia, tiga rakyat Korea, dan masing-masing seorang rakyat Singapura, British dan Malaysia.

Daripada jumlah itu, 138 ialah dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

AirAsia telah menyediakan Pusat Panggilan Kecemasan di nombor +622129850801 untuk keluarga dan rakan kru serta penumpang pesawat tersebut.

- Sumber: Astro Awani | Disember 28, 2014

No comments:

Post a Comment