SEPANG - Malaysia mengerahkan tiga buah kapal dan sebuah pesawat C130 Hercules untuk membantu dalam pasukan mencari dan menyelamat pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 yang hilang, diterajui pihak berkuasa Indonesia.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kapal berkenaan sedang dalam perjalanan ke kawasan Belitung.

Beliau berkata kerajaan Malaysia juga telah mewujudkan Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (ATCC) di Subang bagi  membantu usaha penyelarasan misi mencari pesawat QZ8501.    

"Kerajaan Malaysia komited dan telah mengerahkan aset-aset ketenteraannya untuk membantu Indonesia dalam operasi mencari.

"Saya sentiasa berhubung dengan  rakan sejawatan saya di Indonesia, Ignasius Jonan dan di Singapura, Lui Tuck Yew, untuk menghulurkan sebarang bantuan yang perlu pada waktu sukar ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pengurusan AirAsia di Terminal Penerbangan Tambang Rendah, di sini hari ini.

Mengikut konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Liow berkata misi pencarian akan diketuai oleh pihak Indonesia manakala Malaysia dan Singapura akan membantu.

Beliau turut menafikan dakwaan dan spekulasi bahawa pesawat itu telah dijumpai.

"Operasi SAR (mencari dan menyelamat) sedang dijalankan dan pasukan SAR masih belum menjumpai sebarang serpihan," katanya.

Liow berkata beliau dimaklumkan oleh pengawal trafik udara Indonesia bahawa  QZ 8501 memohon untuk menukar laluan berikutan keadaan cuaca buruk.   

"Itu merupakan komunikasi dan maklumat terakhir yang kami ada," katanya.

Semasa ditanya sama ada pesawat itu dilengkapi sistem radar 'air borne', Liow berkata "ia adalah pesawat baharu dan ada sistem itu".

"Doa dan ingatan kami untuk semua penumpang, anak kapal dan keluarga mereka dalam pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ 8501," katanya.

Pusat kawalan trafik udara Indonesia terputus hubungan dengan QZ 8501 pada 7.24 pagi ketika berada di ruang udara Indonedia semasa dalam perjalanan dari Surabaya ke Singpura. Sejak itu SAR digerakkan untuk mencari pesawat ITU.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 155 penumpang iaitu 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi selain dua juruterbang dan lima anak kapal.


- Sumber: Bernama | 28 Disember 2014