Wednesday, 5 November 2014

Singapura haramkan shisha mulai bulan ini



Singapura akan mengharamkan pengedaran dan penjualan shisha mulai bulan ini kerana ia sama mudaratnya dengan penggunaan bahan tembakau lain. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Singapura akan mengharamkan pengedaran dan penjualan shisha mulai bulan ini kerana ia sama mudaratnya dengan penggunaan bahan tembakau yang lain, lapor Channel News Asia.

Memetik kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Isnin, larangan itu merangkumi import bahan tembakau berperisa itu.

Menurut Muhammad Faishal, pengharaman itu akan dikuatkuasakan tidak lama lagi pada bulan ini kerana kegiatan menghisap shisha mengancam kesihatan serta bertujuan membendung tabiat itu daripada merebak di republik tersebut.

"Bagaimanapun, sebagai langkah peralihan, lesen pengimport tembakau dan peruncit yang mengimport dan menjual tembakau shisha akan diberi kebenaran meneruskan import dan jualan tembakau shisha sehingga 31 Julai 2016," katanya seperti dipetik oleh portal berita televisyen itu.

Jelas Setiausaha Parlimen itu, ia bagi membolehkan mereka yang terlibat menghabiskan stok serta menstrukturkan semula perniagaan meninggalkan perniagaan shisha.

Kaji Selidik Kesihatan Kebangsaan di Singapura pada 2010 menunjukkan 7.8 peratus belia yang berumur antara 18 ke 29 tahun menghisap shisha sekurang-kurangnya sekali, berbanding 1 peratus dalam kalangan mereka yang lebih dewasa.

Kaji selidik itu juga mendapati nisbah pelajar yang menggunakan bahan tembakau alternatif termasuk shisha telah meningkat daripada 2 peratus pada 2009 kepada 9 peratus pada 2012.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment