Drama arahan Londo Zawawi menampilkan Dato' Rahim Razali, Pekin Ibrahim, A.Galak dan Oktavia Manrose ini diterbitkan oleh Skop Production.
KUALA LUMPUR: Peminat-peminat novel seram pasti tahu mengenai ‘Bercakap Dengan Jin’ karya Tamar Jalis yang popular sekitar tahun 80an.
Berita baik buat pengikut novel seram itu, novel seram berkisarkan pengalaman penulis (Tamar Jalis) bersama datuknya yang juga seorang pengamal perubatan tradisional itu kini boleh ditonton di kaca televisyen.
Siri adaptasi novel mistik itu bakal diterjemahkan menerusi drama 13 episod yang akan disiarkan setiap Selasa, bermula 4 November, pukul 10 malam di Mustika HD (saluran 134) dan Astro Bella (saluran 133).
Drama arahan Londo Zawawi menampilkan Dato' Rahim Razali, Pekin Ibrahim, A.Galak dan Oktavia Manrose ini diterbitkan oleh Skop Production.
Mengadaptasi novel seram popular ini ke versi televisyen juga merupakan impian penerbit filem Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam.
Malah Yusof juga pernah mencuba untuk menjual siri drama adaptasi novel ditulis Tamar Jalis itu ke sebuah stensen televisyen namun gagal kerana ketika itu cerita-cerita seram tidak digalakkan untuk tayangan umum.
"Akhirnya impian saya untuk jayakan adaptasi novel seram popular pada tahun 1980an ini tercapai juga.
"Dulu memang ada usaha untuk terbitkannya tetapi ketika itu cerita-cerita seram sebegini tidak begitu digalakkan oleh kerajaan," ujarnya yang turut berterima kasih kepada Astro kerana telah merealisasikan impiannya selama ini.
Yusof berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama seram bersiri Bercakap Dengan Jin di Restoran Serai, KL Life Centre, Khamis lepas.
- Sumber: Astro Gempak
No comments:
Post a Comment