Wednesday, 5 November 2014

Kuala Lumpur tempat tinggal sebenar saya - Jutawan



Kata Khoo (kiri) , isterinya Pauline Chai Siew Phin ((kanan) dan lima anak mereka, selalunya menyambut musim perayaan di luar negara, tetapi tetap pulang ke Malaysia - foto sumber Forbes

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur adalah tempat tinggal sebenar saya, kata Tan Sri Khoo Kay Peng kepada Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar permohonan perceraian yang difailkannya tahun lepas.

Jutawan berusia 74 tahun itu berkata beliau tidak pernah menukar tempat tinggal dan sebagai sebuah keluarga, mereka tinggal di sini, bukan di United Kingdom atau Australia.

Kata Khoo, isterinya Puan Sri Pauline Chai Siew Phin, 67, Miss Malaysia/International 1969, dan lima anak mereka, selalunya menyambut musim perayaan di luar negara, tetapi tetap pulang ke Malaysia.

"Kuala Lumpurlah tempat tinggal kami, tempat tinggal sebenarnya. Pusat perniagaan saya juga terletak di bandar raya ini," katanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Cyrus Das.

Khoo berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Yeoh Wee Siam mengenai permohonannya untuk mengetepikan keperluan menghadap badan pendamai sebelum bercerai dan untuk menentukan isu awal sama ada mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa mendengar petisyen perceraiannya.

Khoo, yang juga pengerusi bukan eksekutif jenama fesyen antarabangsa Laura Ashley, memberitahu mahkamah bahawa keluarganya, termasuk lima anak mereka, tidak tinggal di England.

Kata Khoo ketika beliau dan Chai, yang berasal dari Ipoh, berkahwin pada 1970, isterinya itu datng ke rumahnya di Kuala Lumpur dengan hanya membawa dua beg "pakaian lama" dan "itu saja".

Jutawan itu berkata keluarganya tidak tinggal bersama di rumah pasangan itu di kawasan mewah Rossway Park di England.

Terdahulu, beliau berkata Chai adalah seorang wanita cerewet dan panas baran serta suka meninggikan suara hanya kerana "hal-hal kecil".

Beliau juga mendakwa seorang daripada anak lelaki mereka menggelarkan Chai wanita "otak tak seimbang", manakala anak perempuan mereka pula mengadu kepadanya bahawa Chai memanggilnya "gemuk dan hodoh".

"Dia wanita yang sangat banyak kerenah. Dia sangat panas baran. Dia akan menjerit dan memekik hanya kerana perkara kecil," katanya.

Khoo berkata ada kalanya, Chai serta anak mereka tidak bertegur sapa berbulan-bulan lamanya dan Chai tidak menghormati atau memandang rendah kepada ahli perniagaan.

"Pada fikirannya, semua ahli perniagaan tidak jujur," katanya.

Dalam prosiding itu, Khoo juga menafikan Chai sentiasa mempunyai hubungan baik dengan anak-anak mereka, dan sebaliknya kadangkala hubungan mereka seperti musuh serta tidak bercakap antara satu sama lain.

Khoo berkata lima anak mereka, berusia antara 28 dan 43 tahun, tinggal di tempat berasingan di Kanada, Singapura dan United Kingdom.

"Perangai dan perilakunya (Chai) telah berubah. Sekarang baru saya tahu siapa sebenarnya orang ini (Chai), setelah 43 tahun berkahwin," katanya.

Pada Februari tahun lepas, Chai memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London dan menuntut penyelesaian 500 juta (lebih kurang RM2.75 bilion).

Khoo, yang juga pengerusi syarikat pegangan pelaburan antarabangsa, Malayan United Industries Bhd dan kini tinggal di Ampang, Kuala Lumpur, memfailkan petisyen perceraian itu di sebuah mahkamah Malaysia tahun lepas.

Perbicaraan bersambung pada Khamis. - Bernama

No comments:

Post a Comment