Sunday, 2 November 2014

Mayat nenek tiri Najib, Hishammuddin dikenal pasti

KUALA LUMPUR - Mayat Puan Sri Siti Amirah Kusuma, 83, mangsa terakhir rakyat Malaysia dalam tragedi MH17 telah dikenalpasti.

Siti Amirah merupakan nenek tiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perkara tersebut dimaklumkan Hishammuddin hari ini setelah mayat tersebut disahkan pasukan forensik di Belanda semalam.

"Syukur Alhamdulillah mayat kesemua penumpang (rakyat Malaysia) yang menjadi mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti.

"Ini salah satu tanggungjawab serta janji yang telah ditunaikan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada keluarga mangsa serta rakyat Malaysia dalam hal ini," katanya pada sidang media di sini selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya diberitahu bahawa keluarga Allahyarham ingin mengebumikan jenazah di Amsterdam memandangkan anaknya menetap di sana. Maka tiada lagi istiadat penghormatan akan dilakukan di negara ini," kata Hishamuddin.

Dengan perkembangan terbaru itu, kesemua 43 jenazah rakyat Malaysia kini telah dikenalpasti.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Sehingga kini, sebanyak 278 jenazah daripada 298 mangsa telah dikenal pasti oleh pasukan forensik di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum, Belanda.

Hishammuddin berkata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan melakukan tindakan susulan bagi menentukan kesemua mangsa tragedi mendapat pengadilan.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment