BALING - Dua sahabat maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Baru Kupang-Baling berdekatan Kampung Rambong Pulai, dekat sini hari ini.
Jurucakap polis Daerah Baling berkata dalam kejadian pada 2.07 petang itu, Mohd Firdaus Mohd Sobri, 21 dan Mohd Sobri Abd Aziz, 22, berasal dari Kampung Rambong Pulai maut di tempat kejadian.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan ke pekan Pulai, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Mohd Sobri tersepit antara motosikal dan hadapan kereta sementara Mohd Firdaus tercampak sejauh satu meter.
Mayat dihantar ke Hospital Daerah Baling untuk bedah siasat.
Di IPOH, seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang diboncengnya merempuh sebuah van di Kilometer 2.5 Jalan Batu Kurau-Anak Kurau, berhampiran Kampung Perak, Batu Kurau, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata dalam kejadian pada 9 malam itu, Siti Nor Atigah Mohammad Izhar, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas jatuh ke dalam parit.
"Van tersebut memberi lampu isyarat untuk masuk ke Lorong Titi Kasai, bagaimanapun pada masa sama penunggang motosikal telah melanggar sisi kanan bahagian belakang van berkenaan sebelum terbabas ke dalam parit berhampiran yang berada di sebelah kanan laluan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Penunggang motosikal, Siti Nor Aishah Mohammad, 17, hanya cedera ringan setelah terjatuh atas jalan raya manakala pemandu van Mohamad Zulfirdaus Zolkafli, 18, tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat, katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment