Monday, 10 November 2014

Matahari Terbit Lagi dan Tanda Putera ungguli ASK18


DRAMA Matahari Terbit Lagi terbitan Al-Hidayah Production Sdn Bhd, produksi milik pelakon Asyraf Muslim berjaya mengungguli Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) menerusi kemenangan lima trofi.

Matahari Terbit Lagi tersebut memenangi kategori utama iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Drama Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Videografi Terbaik pada malam kemuncak yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kelmarin.

Diarahkan oleh Azeli Mohammad, drama terbabit diterajui oleh pelakon Anuar Chew Abdullah, Syed Ali, Mubarak Majid, Mimi Ernida dan Shawal Ruslan, menewaskan drama lain seperti Balqis, Olong, Rumah Buat Ibuku dan Walau Siapa Pun Aku.

Asyraf yang ditemui sebaik berakhirnya ASK2014 semalam mengakui terkejut, namun bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh produksinya.

"Alhamdulillah, bagi saya ini satu penghargaan yang dah lama saya tunggu biarpun produksi saya kira masih muda dalam industri.

"Apatah lagi, drama-drama yang saya terbitkan berlainan genrenya dengan produksi lain dan ternyata percubaan kami berhasil.

"Insya Allah kemenangan ini akan menjadi satu permulaan baru buat produksi kami menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini," katanya.

Dalam pada itu bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Drama dimenangi oleh Namron menerusi lakonan cemerlangnya dalam Balqis.

Manakala Nabila Huda membuat kejutan apabila memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama menewaskan calon-calon seperti Didie Alias, Fauziah Nawi, Izreen Azminda dan ElFaeza.

Sementara itu, filem terbitan Pesona Pictures, Tanda Putera dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang dibintangi oleh Rusdi Ramli, Faezah Elai dan Linda Hashim.

Shuhaimi Baba juga turut diumumkan sebagai Pengarah Terbaik Filem. Manakala Zizan Nin turut memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik Filem.

"Sejujurnya saya tidak jangka sebarang kemenangan kecuali kategori Pelakon Pembantu Terbaik Filem kerana saya memang mahu Zizan menang selepas lakonan yang berkesan dalam filem berkenaan.

"Tapi Alhamdulillah selepas segala dugaan yang kami lalui sebelum ini, juri mengiktiraf filem ini, hasil kerja saya dan saya rasa amat bersyukur," katanya.

Dalam pada itu, bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem dimenangi oleh Natasha Hudson (Lemak Kampung Pandan).

Manakala Sharifah Amani dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi lakonan cemerlangnya dalam Psiko Pencuri Hati dan Namron juga telah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem yang sama.

Kesemua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan menerima sebuah trofi.

ASK 2014 pada tahun ini mengangkat tema prestij dan angun dan siaran langsung itu dihoskan oleh Fahrin Ahmad bersama Fara Fauzana, Zul Ariffin, Fiza Sabjahan, Amyra Rosli, dan Tasha Shilla.

Persembahan pada malam itu diserikan oleh Hafiz Suip, Black, Lan Typewriter, Nora Danish, Fathia Latif, Aziz M.Osman, Ruminah Sidek dan Erma Fatimah.

Secara keseluruhan, ASK 2014 mempertandingkan sebanyak 31 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment