Seorang lelaki dalam keadaan kemurungan.-Gambar Hiasan
BEBERAPA tahun dahulu, Kong (bukan nama sebenar) berbual dengan rakannya mengenai pelan masa depan setelah mereka bersara dari bekerja kelak.
Menurutnya, simpanan persaraannya agak lemah kerana ketika itu wang simpanan di KWSP miliknya cuma beberapa puluh ribu sahaja sedangkan dia akan bersara empat tahun lagi.
Isteri Kong juga bekerja tetapi gajinya cuma mampu untuk menampung perbelanjaan diri mereka dan anak-anak.
Untuk menambahkan lagi pendapatan, Kong dicadangkan oleh rakannya untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan membuat perniagaan membekal dan memasang sistem pemanas air di rumah-rumah kediaman memandangkan rakannya juga membuat perniagaan itu dan agak menguntungkan.
Kong kemudian pulang ke rumah dan berbincang dengan isterinya mengenai cadangan tersebut.
Pada mulanya, isterinya agak ragu-ragu dengan cadangan suaminya itu memandangkan dia tahu suaminya bukan seorang yang pandai akan selok-belok dunia perniagaan tersebut.
Lagi pula, wanita itu merasakan bahawa pendapatan isi rumah mereka masih lagi dalam kawalan. Tetapi, suaminya tetap berkeras untuk melakukan perniagaan tersebut.
Pada permulaan, Kong memperoleh pendapatan bersih sekitar RM 3,000 setelah beberapa bulan memulakan perniagaan. Tetapi, apabila keadaan ekonomi semasa merudum beberapa bulan kemudian, Kong memperkenalkan kaedah pembayaran ansuran bulanan kepada pelanggannya yang tidak mampu membayar bayaran penuh.
Akibat daripada tindakan tersebut, Kong menggunakan kad kredit untuk membuat modal pusingan perniagaannya.
Tindakan ini menyebabkan hutang kad kredit Kong meningkat dan memberi kesan kepada kedudukan kewangan keluarganya.
Akibatnya, Kong bergaduh besar dengan isterinya dan menyebabkan perkahwinan yang dibina selama 25 tahun retak.
Buntu memikirkan masalah kewangan yang meruntuhkan perkahwinannya, Kong datang ke pejabat AKPK untuk mendapatkan bantuan. Akhirnya, melalui Program Pengurusan Kredit AKPK, dia dibenarkan membayar pinjaman bulanan kad kredit dengan jumlah yang dia mampu dan dipersetujui oleh pihak bank.
Kong kemudian sedar tindakan melulunya yang memulakan perniagaan tanpa mendapat pendidikan mencukupi.
“Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup – AKPK”
- Sumber:Agensi
No comments:
Post a Comment