Tuesday, 11 November 2014

Lubuk simpan tembaga terbongkar

Fah Hin menunjukkan kabel yang ditemui dari suspek.

BAYAN LEPAS - Seorang pengusaha kedai barang lusuh dan pekerjanya ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan sindiket mencuri kabel di sekitar daerah barat daya.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah rumah setinggan di Sungai Nibong Kecil, di sini semalam, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 30 tahun sedang leka membakar kabel bagi mendapatkan aluminium dan tembaga.

Serbuan diketuai Asisten Superintendan Mohamad Sani Mat Ali itu berjaya merampas 200 kilogram kabel yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, rumah itu dijadikan stor menyimpan barang lusuh. Mereka dipercayai membakar kabel bagi mengeluarkan tembaga yang kemudian dijual dengan harga dua kali ganda.

"Kita percaya mereka menjadi orang tengah dengan membeli dari sindiket curi kabel dengan harga murah sebelum menjual kembali kepada pihak ketiga dengan harga berlipat kali ganda.

"Siasatan mendapati semua kabel yang dirampas itu milik Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya pada sidang media di Balai Polis Bayan Lepas, di sini, semalam.

Menurutnya, serbuan itu dibuat berikutan laporan seorang penyelia TNB yang mendakwa stor syarikat itu di sebuah tapak pembinaan pencawang baharu di Sungai Ara diceroboh Khamis lalu.

Sebanyak 30 kabel TNB disimpan dalam kontena yang dijadikan stor hilang dengan kerugian dianggarkan mencecah RM60,000.

"Berikutan itu,kami menggerakkan ops lusuh bagi memburu suspek. Kita percaya kabel yang ditemui di stor berkenaan adalah sebahagian yang dicuri lima hari lalu," katanya.

Fah Hin berkata,kedua-duanya akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment