KOTA BHARU - Susulan kes berang dituduh mencuri angsa, seorang penganggur mengaku salah atas tuduhan menikam dua lelaki, di mahkamah majistret, di sini, semalam.


Hukuman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu, bagaimanapun ditetapkan bulan depan sementara menunggu laporan perubatan dan fakta hukuman.

Tertuduh, Mohd Ridzuan Abu Hanifah mengaku salah pada tuduhan pertama mendatangkan cedera ke atas Saruan Mohd Noor, 35, dengan menggunakan sebilah parang di sebuah bangsal berhampiran sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Durian Kudung, Bachok, pada jam 1.30 petang, 8 November lalu.  

Tertuduh juga mengaku bagi pertuduhan kedua, mendatangkan kecederaan ke atas rakan Saruan, Nor Azizan Che Said, 32, dengan menggunakan senjata sama pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri. Pada prosiding itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes bersambung pada 17 Disember depan di Mahkamah Bachok.

Sinar Harian, 9 November lalu melaporkan seorang tukang cat parah, manakala rakannya cedera apabila diserang lelaki yang marah dituduh mencuri angsa di Kampung Durian Kudung, Gunung, Bachok.

Lelaki berkenaan marah dituduh mencuri dan mereka bertengkar sebelum bergelut dan mangsa ditikam di dada. Seorang lagi mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan, cedera di tangan.

Kejadian disedari adik Saruan dan penduduk kampung yang kemudian bertindak pantas menangkap serta mengikat suspek.

- Sumber: