- Tinggal kenangan.... Gambar mangsa (kiri) bersama abang dan adiknya. Foto: Sinar Harian
HULU TERENGGANU - “Walaupun hanya rangkanya ditemui, sebagai ibu, makcik tetap bersyukur kerana dia pulang juga akhirnya setelah lebih sebulan menanti," luah Khatijah Omar, 59.
Menurut Khatijah, sebelum itu dia tidak putus berdoa agar anaknya Mohd Razali Mohd, 29, kembali ke rumah walaupun dalam apa jua keadaan. Katanya, biarpun yang pulang kini hanya jasad anaknya, dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
“Sebelum dia keluar dari rumah sekitar Oktober lalu lebih kurang jam 12 tengah malam, dia ada beritahu hendak cari kawannya tetapi pulang semula tidak lama kemudian untuk ambil telefonnya.
Namun lepas itu dia langsung tak balik sehinggalah Subuh.
“Bila siang dia masih belum pulang, makcik mula tak senang hati, tapi dua hari kemudian makcik lega sedikit sebab dia ada hantar SMS kepada kawannya supaya beritahu makcik jangan susah hati kerana akan pulang dua tiga hari lagi," katanya.
Bagaimanapun Khatijah berkata, semua itu hanya tinggal harapan kerana anaknya masih juga tidak pulang sehinggalah berita penemuan rangkanya.
Dapat petunjuk selepas solat istikharah
Kata Khatijah, sebelum itu dia tidak putus berdoa dan turut melakukan solat istikharah memohon petunjuk daripada ALLAH SWT.
“Peringkat awal dia dipercayai hilang, makcik mendapat alamat anak makcik ini tidak sihat dan sakit.
"Selepas lebih sebulan berlalu, sekitar minggu lepas makcik buat solat istikharah tiga malam berturut-turut dan mendapat petanda yang sama iaitu dia telah tiada,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.
Khatijah berkata, dia hanya mengetahui keadaan Mohd Razali selepas Isyak, malam kelmarin, setelah dimaklumkan ahli keluarga lain.
Mayat tinggal tengkorak
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai penemuan rangka manusia di No 185, Sektor 57 Jalan Tasik Kenyir-Aring, kira-kira jam 1.40 petang kelmarin.
Menurutnya, lokasi penemuan adalah di tepi jalan menghubungkan Laluan Aring-Kenyir iaitu jarak lebih kurang 54 kilometer dari simpang Kuala Jeneris.
"Siasatan awal, pihak polis mendapati ia adalah rangka manusia yang mempunyai pakaian lengkap. Semasa dijumpai hanya tinggal tengkorak dalam keadaan meniarap dan pemeriksaan lanjut menemui beg duit yang di dalamnya terdapat pengenalan diri," katanya, semalam.
Hussin berkata, pengenalan diri tersebut sama dengan laporan diterima polis 24 Oktober lalu mengenai kehilangan Mohd Razali dari Felda Tersat yang dibuat bapanya, Mohd Muda.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment