Pakar forensik Belanda menemui beberapa lagi cebisan mayat di lokasi nahas MH17, namun mereka masih belum dapat mengalihkan bangkai pesawat.
THE HAGUE: Pakar forensik Belanda menemui beberapa lagi cebisan mayat di lokasi nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, pada Rabu, namun berkata mereka masih belum dapat mengalihkan bangkai pesawat.
"Satu pasukan telah menemui cebisan mayat di lokasi nahas apabila kepingan bangkai pesawat diangkat menggunakan kren," kata Kementerian Pertahanan Belanda dalam satu kenyataan.
Pakar Belanda - yang bertanggungjawab dalam pencarian cebisan mayat dan juga mengetuai siasatan dalam insiden kemalangan pada 17 Julai yang mengorbankan semua 298 di atas pesawat itu - tiba di lokasi nahas pada Selasa.
Mereka berharap dapat mengalihkan serpihan penerbangan Malaysia Airlines itu ekoran kebimbangan bahawa pertempuran besar-besaran boleh berlaku sekali lagi.
Cebisan mayat mangsa akan dihantar ke Kharkiv untuk pemeriksaan forensik sebelum dihantar pulang ke Belanda untuk peringkat seterusnya, menurut kementerian itu.
Ketua pegawai pasukan Belanda, Pieter-Jaap Aalbersberg, berkata kumpulannya telah "melakukan segala yang termampu" untuk mendapatkan semula cebisan mayat dan barangan peribadi.
"Untuk meneruskannya, kami memerlukan peralatan berat dan lebih banyak pakar forensik. Pada saat ini, ia tidak mungkin dapat dilakukan," kata Aalbersberg dalam kenyataan itu.
Beliau berkata keadaan keselamatan di sekitar lokasi kemalangan “masih sukar". - AFP
No comments:
Post a Comment