SABAN tahun, Anugerah Skrin (ASK) adalah salah satu anugerah hiburan yang paling dinanti-nantikan oleh karyawan dan penggiat seni tempatan.
Sejak 2005, acara berprestij ini kekal menjadi acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada rancangan-rancangan televisyen, filem tempatan, pelakon dan
personaliti televisyen terbaik.
Mula dianjurkan TV3 sejak 1995, pada mulanya ASK hanya membuka pencalonan bagi kategori yang melibatkan terbitan televisyen kepada rancangan siaran TV3.
Namun, sejak 2006, penganjur memutuskan untuk membuka peluang kepada bahan siaran RTM, Bernama, TV Al-Hijrah dan Astro serta empat stesen naungan Media Prima (TV3, NTV7, 8TV, TV9).
Pada tahun ini, ASK kembali lagi menghangatkan perjalanan industri di sepanjang 2014 dengan pelbagai konsep dan pembaharuan.
Menerusi sidang media yang disusun pada 9 Oktober lalu, di Sri Pentas, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 dan TV9, Sherina Nordin, turut berkongsi mengenai ASK 2014 yang bakal diadakan pada 7 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
ASK 2014 bakal mewarnai kalendar industri hiburan pada tahun ini. Bagaimana pula dengan perjalanan dan konsepnya pada kali ini?
Alhamdulillah, setelah beberapa bulan merangka, akhirnya ASK 2014 bakal diadakan kurang sebulan lagi. Seperti biasa, ASK menyediakan platform kepada syarikat penerbitan menerusi stesen televisyen bagi memperlihatkan hasil dan produk mereka.
Mengenai tema pula, kami sepakat memilih konsep ‘Prestij dan Anggun’ (classy, elegant, black tie, pretige).
ASK sentiasa tampil dengan idea yang pelbagai. Bagaimana pula dengan pembaharuan pada tahun ini? Sebagai tanda pengiktirafan, memenuhi peredaran masa yang kini aktif dengan media sosial dan peruntukan bajet dalam menghasilkan kelainan serta pengisian terbaik, dua anugerah baharu akan diperkenalkan iaitu
Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial dan Drama Premium Terbaik.
Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial dipilih berdasarkan bualan hangat penonton di laman sosial media sewaktu siaran. Bagi Drama Premium Terbaik pula, peruntukan drama bernilai RM150,000 ke atas dan mempunyai nilai sinematografi serta fotografi yang artistik.
Secara keseluruhan, ASK 2014 mempertandingkan 32 kategori drama, filem dan penerbitan dalaman serta Anugerah Khas (Anugerah Yasmin Ahmad). Ianya meliputi 12 kategori drama, tujuh (fi lem), enam (penerbitan dalaman), enam (teknikal) dan satu anugerah khas.
Siapakah selebriti yang telah dipilih untuk mengendalikan ASK 2014? Pada tahun ini, kami memilih seorang sahaja pengacara utama iaitu Fahrin Ahmad. Namun, kami menyediakan beberapa hos sampingan yang bakal digandingkan dalam setiap segmen bersama Fahrin. Antaranya termasuk Zul Ariffi n, Nabila Huda, Shukri Yahaya, Tasha Shila dan Fiza Sabjahan. Untuk hos karpet merah yang bakal disiarkan menerusi Hip TV dan TV9 pada jam 8.30 malam pula, kami memilih Hani Hatim dan Aidid Marcello.
Artis yang bakal membuat persembahan pada malam itu adalah DJ Fuzz, Dikir Warriors, Waris & Iwere, Eirma Fatima (teater muzikal), Lan, Black, Hafi z, Stacy, Ella dan Adlin Aman Ramli (persembahan muzik parodi).
Manakala untuk penyampai anugerah pula, kami mendapatkan kerjasama daripada barisan selebriti terkenal seperti Vanidah Imran, Farit Ismeth Emir, Rashid Sibir, Datin Umie Aida, Datuk Jalaluddin Hassan, AR Badul, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rahim Razali, Datuk Yusof Haslam dan Datin Seri Tiara Jacquelina.
Radio rasmi ASK 2014 ialah Hot FM. Bagaimana pula dengan proses penjurian? Karya dan calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2013 hingga 30 Julai 2014.
Pencalonan drama berdasarkan jumlah penonton dan pencapaian syer yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement, bagi genre masing-masing. Semua pencalonan dinilai panel juri profesional yang dipilih.
Seperti tahun sudah, penyertaan daripada stesen televisyen lain juga menunjukkan sambutan yang baik. Bagaimana pula pada tahun ini?
Kami membuka penyertaan kepada semua rangkaian televisyen lain termasuk RTM, Bernama, TV Al-Hijrah dan Astro.
Namun tahun ini pihak Astro tidak menghantar sebarang pencalonan. Sebaliknya menghantar pesanan menerusi emel memaklumkan penarikan diri daripada ASK tahun ini.
- Sumber: Sinsr Harian
No comments:
Post a Comment