Wednesday, 15 October 2014

David Teo: Tiada istilah serik


KONTROVERSI yang melanda pemilik Metrowealth International Group (MIG) ini bersama artis yang pernah bernaung di bawah syarikatnya baru-baru ini bukan perkara baharu dalam industri seni.

Malah, Mejar K. David Teo mengakui dia akan meneruskan misinya untuk melahirkan lebih ramai artis baharu di bawah produksi gergasinya itu.

Ditemui di majlis sidang media Karnival Sate di Wisma MIG kelmarin, David Teo berkata, dia tidak pernah menganggap apa yang berlaku di antara beliau dan Wawa
Zainal sebagai halangan dia memanjakan semua artis-artisnya.

"Kalau hendak kata anak emas, semua artis di bawah MIG adalah anak emas. "Masing-masing punya keistimewaan tersendiri dan bukan Wawa sahaja yang
mendapat perhatian sebaliknya ramai lagi seperti Shima Anuar dan Adibah Yunos yang lahir daripada zaman yang sama dengan Wawa," katanya mempunyai 35 artis di bawah syarikatnya itu.

Jelas David Teo, dia tidak pernah serik memanjakan artis-artisnya meskipun perkara itu pernah mencetuskan kontroversi. "Jika mereka tidak menghargai saya, saya
terima dengan hati terbuka.

"Mereka tidak bersyukur dengan apa yang saya berikan dan tidak mahu mengikut garis panduan yang disusun bukan merugikan saya tetapi mereka sendiri.

"Matlamat saya mahu menjadikan mereka berjaya daripada segi kewangan serta dalam bidang yang diceburi bukan popular sematamata," jelasnya.

Mengambil pengalaman itu sebagai iktibar, akui David Teo, bukan sukar baginya menerima artis yang telah membuat kesilapan kembali bekerjasama dengannya.

"Ada di antara mereka yang menyedari kesilapan dilakukan dan kembali kepada asal. Tetapi ada juga yang tidak boleh. "Misalnya, bagi artis yang sudah berkahwin, apabila berkahwin perlu mendengar cakap suami dan itu memang sukar untuk memastikan artis tersebut kembali kepada asal kerana komitmen terhadap keluarga.

"Begitu juga Wawa, jika dia mahu kembali seperti dulu, mustahil rasanya," katanya sentiasa mendoakan pelakon 99 Kali Rindu itu bahagia bersama keluarga.

Seorang tumbang, seribu datang! Selain artis, MIG juga akan terus membimbing lebih ramai pengarah, penulis skrip dan lain-lain kerjaya di bawah syarikat tersebut dari semasa ke semasa.

Menurut David Teo, ini bertujuan membuka ruang kepada bakat di luar sana untuk mengembangkan kemahiran mereka.

"Ini penting bagi memastikan industri seni meriah dengan bakat-bakat baharu yang berkualiti.

"Lagipun tidak selamanya mereka bersama saya, apabila sudah boleh bangun dan berdikari, mereka pasti akan pergi. "Tetapi biarlah dengan cara yang betul, saya akan sentiasa menyokong mereka," katanya memuji Maya Karin, Lisa Surihani dan Waheeda yang pernah bernaung di bawahnya sebelum ini.

Tambahnya, melihat kepada Farid Kamil, Yana Samsudin dan Shahiezy Sam, mereka antara barisan artis yang boleh dijadikan contoh.

"Selain berjaya dan komited dalam bidang diceburi, mereka matang dan tidak melatah. "Pengalaman yang ada menjadikan mereka bijak dan tidak pernah membuat sesuatu yang di luar jangkaan khususnya kontroversi," katanya.

Mengulas mengenai kesan kontroversi yang melandanya itu, akui David Teo, ia tidak meninggalkan sebarang kesan kepada pembangunan syarikatnya.
"Hari-hari ada sahaja yang mahu menjadi artis saya. Saya pernah kata, seorang tumbang, akan ada seribu datang.

"Yang penting mereka mesti betul, jujur dan ikhlas. Barulah boleh ke hadapan," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment