Saturday, 18 October 2014

Pengembaraan ke laut dalam


KEHILANGAN pesawat MH370 sehingga kini masih meninggalkan misteri. Malah sehingga kini Firma Belanda, Fugro Survey Pte Ltd. masih mengetuai pencarian pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.

Namun tayangan filem berbentuk dokumentari terbaru, Deepsea Challenge, barangkali boleh memberi sedikit gambaran kepada anda mengenai keadaan di dalam laut dalam.

Gambaran itu dilalui sendiri oleh pengarah yang sebelum ini terkenal dengan filem Avatar, James Cameron.

Cameron pada 2012 menjadi orang pertama menjelajah dasar laut menggunakan kapal selam secara solo dan berjaya menamatkan penerokaan ke Jurang Mariana yang merupakan tempat paling dalam di Lautan Pasifik.

Jurang Marina terletak di barat Lautan Pasifik dan timur Filipina, sekitar 200 ke timur Kepulauan Mariana. Ia merupakan kawasan berbentuk bulan sabit sepanjang 2,550 kilometer (km) dengan lebar 69km.

Beliau berjaya mencapai kedalaman 10,898 meter atau 11 kilometer di dasar lautan dengan menggunakan kapal selam seberat 12 tan, Deepsea Challenger.

Biarpun bukan di lautan Hindi, namun sedikit sebanyak ia akan memberi gambaran kepada anda tentang keadaan di laut dalam.

Menerusi laporan sebelum ini, Cameron meluangkan masa sekitar tiga jam dengan mengambil sampel bagi penyelidikan saintifik dan merakamkan kawasan Mariana Trench.

Cameron melakukan ekspedisi itu yang turut mendapat kerjasama daripada institusi pendidikan terkenal, National Geographic Society.

Difahamkan, Cameron pada awalnya dijangka meluangkan masa sehingga enam jam di Jurang Marina, namun kapal tersebut timbul lebih awal daripada jangkaan.

Penuh debaran, cabaran

Bukan hanya memaparkan perjalanan Cameron ke laut dalam, filem ini juga turut memaparkan segala persiapan cabaran mahupun dugaan yang dihadapinya sepanjang aktiviti menyelam itu dilakukan.

Bahkan sepanjang Cameron turun ke dasar laut, anda akan turut sama merasai debaran melihat dasar laut dalam ruangan yang cukup terhad.

Apatah lagi, ditayangkan dengan konsep 3D, filem ini memberi satu dimensi baru kepada mereka yang sukakan rancangan berbentuk dokumentari.

Tiada kejutan

Namun ingin penulis ingatkan tiada sebarang kejutan yang dipaparkan di dalam filem ini.

Bagaimanapun ia tidak sedikit pun mengurangkan mood penonton untuk menonton filem ini kerana seperti yang penulis katakan sebelum ini, ia memberi satu dimensi baru kepada mereka yang ingin tahu keadaan laut dalam.

Dengan penuh kegelapan dan ruang yang terhad di dalam kapal selam Deepsea Challenger, ia secara tidak langsung membuatkan seolah-olah anda yang sedang turun ke dasar laut itu sendirian.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment