DI awal kemunculannya pada 2009, aktres muda, Lily Collins rimas apabila dirinya sentiasa dibayangi bapanya, Phil Collins yang juga pemuzik Hollywood.
Kata gadis berusia 25 tahun ini, sering kali media Hollywood memperkenalkan namanya dan akan diikuti dengan perkataan ‘anak Phil Collins' di belakang.
Begitu pun, sejak lakonan berkesannya sebagai Snow White menerusi filem Mirror Mirror, dua tahun lalu sekali gus menginjak tinggi popularitinya membuatkan keadaan itu berubah sama sekali.
"Seorang penyampai radio, selepas tamat memainkan sebuah lagu pernah memberitahu ‘Jika anda semua tidak tahu lagu tadi, itu adalah lagu Phil Collins, ayah Lily Collins'," katanya.
Bahkan, perkara itu turut diakui bapanya dan berasa sangat bangga dengan pencapaian anaknya itu.
Pemilik nama Lily Jane Collins ini berkata, dia mahu kehadirannya dalam industri Hollywood dinilai oleh bakat yang ada padanya dan bukan kerana dia adalah seorang anak bintang terkenal.
"Saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh demi membuktikan bakat pada saya dan bukannya kerana bapa saya," tegasnya.
Membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan dan mempunyai pakej lengkap, kehadiran Collins mula membuka mata pihak produksi.
Selain Mirror Mirror, Collins turut berlakon The Blind Side (2009), Priest (2011), Abduction (2011), Stuck in Love (2012), The English Teacher (2013) dan The Mortal Instruments: City of Bones (2013).
Aktres kelahiran Guildford, Surrey, England dibesarkan di Los Angeles tetapi sering menanggap dirinya adalah seorang gadis Inggeris.
"Saya dibesarkan sebagai gadis Inggeris di desa berdekatan kawasan pertanian dan hutan.Saya selalu membaca cerita dongeng sebelum masuk tidur dan saya benar-benar gadis muda yang mencintai putera dan puteri dalam cerita dongeng," ujarnya.
Dek pengalaman itu, Collins yang juga seorang model ini menyifatkan peranannya sebagai Snow White dalam Mirror Mirror sebagai penghormatan besar.
Jadi diri sendiri
Kini, Collins bakal muncul dalam filem Love, Rosie bergandingan dengan aktor kacak, Sam Clafin yang menjengah pawagam mulai 23 Oktober ini.
Filem bergenre komedi romantik itu, diadaptasi dari novel Where Rainbows End hasil nukilan Cecelia Ahern dan diarahkan Christian Ditter.
Berkongsi pengalamannya, Collins yang memegang watak Rosie Dunne, memberitahu cukup teruja membintangi filem berkenaan kerana wataknya itu memerlukan dia menjadi diri sendiri.
"Paling seronok, saya perlu menjadi diri sendiri ketika dalam set penggambaran.
"Saya rasa, cara saya bergelak ketawa, membodohkan diri dan membuatkannya ketawa datang dari diri saya sendiri.
"Saya memainkan karakter itu tetapi pada masa sama, saya juga menjadi Lily Collins dan ia adalah pengalaman yang sangat menarik," katanya.
Love, Rosie mengisahkan dua sahabat baik, Alex Stewart dan Rosie Dunne yang menetap di Dublin tetapi terpaksa berpisah kerana Stewart dan keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment