Monday, 13 October 2014

Kesungguhan suami buka pintu hati

Kesungguhan suami buka pintu hati

PERKENALAN antara saya dan suami hanya sebulan sebelum kami ambil keputusan untuk berkahwin. Ia berlaku secara tidak sengaja di Stesen Bas Bukit Jalil. Suami menolong saya yang sedang menghadapi masalah ketika itu dan dari situ kami mula berkawan sehingga secara tiba-tiba suami ajak saya kahwin.

Saya tidak menolak sebaliknya memberitahu suami jika dia benar-benar ikhlas, lakukanlah. Saya tidak sangka dia betul-betul melakukan urusan perkahwinan. Saya hanya diminta hadir kursus kahwin sahaja yang turut diuruskannya.

Saya juga perkenalkan dia kepada ibu. Untuk pengetahuan saya juga pernah berkawan dengan lelaki bukan Melayu sebelum bertemu jodoh. Ibu tahu mengenai hubungan kami tapi bila sebut soal kahwin teman lelaki selalu mengelak sehingga ibu kata, selepas ini kawanlah dengan sesiapa pun. Ibu terima asalkan dengan niat untuk berkahwin.

Jadi bila saya beritahu ibu yang saya akan berkahwin dengan lelaki Afrika ibu tidak terkejut tapi mahu berjumpa dengan bakal suami terlebih dahulu. Kami berkahwin pada 2010 dan kini memiliki seorang anak bernama Qistina Maisarah.

Saya bekerja sebagai kerani insurans di Setapak dan sebelah malam saya bekerja sambilan di salon di Taman Connought Cheras. Selepas bernikah kami terus pindah dan saya berhenti kerja untuk beri tumpuan kepada suami. Kebetulan, saya memang menunggu seorang lelaki yang nak berkawan atas sebab ingin berkahwin.

Saya tidak mahu buang masa kecewa bercinta lama-lama. Masa majlis kenduri di kampung barulah kawan-kawan tahu pilihan hati saya dan mereka memang terkejut. Inilah jodoh dan saya bahagia dengannya.

Apa yang saya boleh banggakan adalah kesungguhan suami dalam perniagaan. Suami warga Afrika ini seorang yang cekal dan bersungguh-sungguh mencari rezeki. Di tempat mereka tiada peluang seperti di negara kita. Suami mendidik saya walaupun di negara kita birokrasinya tinggi untuk mendapatkan kelulusan perniagaan dan sebagainya (bagi warga negara Afrika) tetapi rezeki murah. Jadi saya banyak belajar dengan dia untuk sentiasa bersyukur dan berusaha sehingga berjaya.

Soal penjagaan makanan suami saya tidak rasa susah kerana suami lebih suka masak makanannya sendiri. Mereka tidak makan seperti kita. Tetapi selalunya kalau saya masak dia pasti makan. Cuma jangan makanan berasaskan durian dan petai. Itu dia tak makan. Untungnya sebab dia suka memasak sendiri dan tidak cerewet.


Mardiah Ali Mokhtar, 26, Peniaga
Disiarkan di Sinar Harian, Oct 12, 2014

No comments:

Post a Comment