KEMAMAN - Lebih 10 pemilik kebun sawit di Kampung Darat Air Putih di sini terpaksa menanggung kerugian masing-masing antara RM3,000 hingga RM20,000 apabila kira-kira 30 hektar tanaman sawit mereka musnah akibat gangguan gajah liar di kampung berkenaan.
Pemilik kebun sawit berkenaan mendakwa gangguan gajah liar itu bermula sejak Julai tahun ini dan semakin menjadi-jadi sejak beberapa hari lepas.
Seorang daripada mangsa, Mohd Rudzi Abdul Razak, 32, berkata harapannya untuk memungut hasil sawit yang ditanamnya dalam masa tiga tahun lagi musnah apabila 100 batang pokok sawitnya dimusnahkan haiwan liar itu.
"Memang sedih... kecewa sangat bila datang ke kebun semalam, saya tengok pokok-pokok sawit saya berselerakan.
"Penat-penat kita tanam pokok-pokok tu, senang saja gajah-gajah musnahkan, bayangkanlah... dah dua tahun usia pokok-pokok sawit yang saya tanam itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Rudzi berkata kumpulan gajah liar yang menceroboh ke kawasan kebun berkenaan dipercayai terdiri daripada tiga hingga empat ekor berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui.
Seorang lagi mangsa Mohd Yusof Sulong, 52, berkata beliau turut mengalami kerugian apabila hampir 70 batang pokok sawit miliknya yang sudah mula mengeluarkan hasil turut musnah.
"Memang kami sangat kecewa dengan kejadian ini bila hasil penat lelah kami hanya tinggal sia-sia sahaja, tapi kami berharap perkara ini akan dapat diatasi segera.
"Kami telah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu dan kami harap tindakan segera dapat diambil," katanya.
Sementara itu Pengarah Perhilitan negeri Yusoff Shariff berkata tindakan segera akan diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.
"Pihak kami telah menerima aduan berhubung masalah ini dan beberapa pegawai kami telah melakukan siasatan dan kita akan ambil tindakan sama ada menangkap gajah berkenaan untuk dipindahkan atau menghalaunya jauh ke dalam hutan," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment