Monday, 18 August 2014

Sekurang-kurangnya 21 mayat akan dibawa pulang - Wee Ka Siong

Dua lagi mayat mangsa Malaysia telah dikenal pasti pada hari ini. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 21 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 akan dibawa balik dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 21 Ogos dan dijangka tiba di tanah air pada 22 Ogos. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong, dalam satu kenyataan, berkata jumlah jenazah yang bakal di bawa pulang melebihi jumlah sebelum ini iaitu 16.

Lapan belas mayat diletakkan dalam keranda sementara baki tiga mayat telah menjalani upacara pembakaran dan abunya diletakkan dalam bekas abu.

Kerajaan Belanda juga memberitahu Kedutaan Malaysia di Belanda dan Malaysia Airlines yang dua lagi mayat mangsa Malaysia telah dikenal pasti pada hari ini.

"Kami akan berusaha lebih dan kini dalam proses membawa lagi jenazah pulang ke Malaysia. Kami sedang bekerja keras untuk mendapatkan lampu hijau untuk satu lagi jenazah untuk dimasukkan ke dalam penerbangan pertama itu.

"Kami memahami prosedur dan peraturan-peraturan di Belanda amat ketat dan kita perlu menghormati itu.
Kami berharap proses dokumentasi bagi pengendalian mangsa-mangsa warga Malaysia yang lain dapat berjalan dengan lancar," kata Wee.

Tambah Wee, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi membincangkan isu dokumentasi dan juga urusan lain yang berkaitan dengan mangsa.

Mengenai perjalanan dari rumah jenazah ke lapangan terbang pada 21 Ogos, Wee berkata proses itu akan dilakukan secara sederhana.

"Jenazah akan dihantar ke lapangan terbang dari rumah pengebumian dan berlepas ke Malaysia pada tengah hari melalui penerbangan khas.

"Ahli keluarga mangsa akan berlepas dalam penerbangan yang lebih awal dan tiba di Kuala Lumpur kira-kira dua jam sebelum ketibaan jenazah. Ini adalah untuk membolehkan mereka menerima jenazah di lapangan terbang," katanya. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment