Meskipun telah diberikan amaran, penduduk Filipina masih lagi berada di luar ketika Taufan Rammasun melanda.
KUALA LUMPUR: Jutaan rakyat Filipina terpaksa bergelap setelah bekalan elektrik terputus pada Khamis setelah dibadai Taufan Rammasun yang melumpuhkan jaringan perhubungan kota dan luar bandar yang sehingga ini meragut 38 nyawa.
Pihak berkuasa berasa kecewa dengan penduduk yang masih tidak mahu berpindah ke tempat selamat meskipun taufan tersebut telah membunuh 38 orang setakat ini.
“Kami masih lagi cuba mencari apa sebenarnya yang menyebabkan penduduk tidak mahu akur kepada amaran yang telah diberikan,” kata Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional, Alexander Pama kepada wartawan.
Sebagai sebahagian langkah “kematian sifar”, kerajaan telah pun memindahkan hampir 400,000 orang yang berada dalam laluan Rammasun dan memberi amaran kepada yang lain supaya sentiasa berada dalam rumah.
Namun, amaran tersebut tidak diendahkan malah menurut data daripada majlis, ramai yang maut itu merupakan mereka yang berada di luar rumah dan terkorban dek kerana ditimpa oleh pokok tumbang, runtuhan bangunan dan sisa runtuhan yang berterbangan.
Pama menambah kadar kematian dijangka akan bertambah dan memburukkannya lagi adalah terputusnya hubungan komunikasi kepada sesetengah kawasan luar bandar.
Filipina sering dilanda oleh ribut taufan dan dianggarkan terdapat 20 ribut taufan membadai negara itu.
Rammasun merupakan taufan pertama yang melanda semenjak musim hujan berlaku pada awal Jun lalu.
Ia juga merupakan taufan terbesar pertama yang berlaku selepas Taufan Haiyan yang melanda negara itu tahun lalu dan membunuh 7,300 orang dalam satu malapetaka semulajadi terburuk Filipina.
- Agensi
No comments:
Post a Comment