NEW DELHI - INDIA. Sebuah pesawat MAS yang membawa 180 penumpang dan anak kapal terselamat daripada mengalami bencana apabila sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) pada Jumaat malam.
Portal berita Nepal kantipuronline.com. pada Sabtu memetik pihak berkuasa lapangan terbang sebagai berkata kejadian pada pukul 10.45 malam itu menyebabkan hujung Landasan 02 dipenuhi serpihan kaca.
Tiada laporan mengenai kecederaan yang dialami mereka yang menaiki pesawat MH-144 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu itu.
Petugas kokpit pesawat itu bagaimanpun dikatakan tidak segera memaklumkan kejadian tersebut kepada Pengawal Trafik Udara (ATC).
Kapten pesawat berkenaan bagaimanapun mengesahkan ia "disyaki melanggar unggas", selepas anak kapal Jet Airways melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang, kata laporan itu.
Juruterbang MAS terbabit dipercayai mungkin dikenakan tindakan kerana tidak segera melaporkan kejadian tersebut.
"Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan," kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali.
Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian.
Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu.
“Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini," kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah.
MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat.
Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency. Pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3:30 petang Sabtu setelah dibaiki.
Sementara itu, pegawai ATC berkata pengurus besar TIA telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut dan beliau mengesyorkan tindakan dikenakan terhadap juruterbang MAS terbabit kerana tidak membuat laporan segera tentang kejadian itu.
“Juruterbang berkenaan sepatutnya memaklumkan kejadian itu dengan segera kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini," kata pegawai itu.
Lebih 75 kejadian pesawat berlanggar dengan unggas ketika berlepas atau mendarat berlaku di TIA sejak 1990.
Tiga daripadanya mengakibatkan kerosakan besar terhadap pesawat. Walaupun sebuah pesawat Airbus A300 Thai Airways dan sebuah pesawat Dc-10 Biman Bangladesh terselamat daripada nahas pada 1996 dan 2010, 19 orang maut apabila pesawat Dornier Sita Air terhempas pada September 2012.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, MAS hari ini mengesahkan penerbangan MH114nya dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 21 Mac lepas telah dilanggar oleh sekumpulan unggas semasa menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.
Pengurus Perhubungan Media MAS Khairunnisak Dzun Nurin dalam satu kenyataan di sini berkata sebaik sahaja mendarat pesawat itu telah diperiksa oleh jurutera bertugas.
Beliau berkata penutup lensa lampu mendarat pesawat itu yang pecah dan bukannya cermin hadapan seperti dilaporkan.
"Pesawat itu tidak dibenarkan terbang pada malam itu dan penutup lensa yang pecah itu telah diganti," katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment