Sunday, 23 March 2014

Chef Wan: Saya hanya nak duga

Chef Wan
Chef Wan


LEBIH dua minggu hilang di awan biru tanpa khabar berita, sehingga kini, kehilangan MH370 masih dianggap misteri.

Namun, penemuan serpihan kapal terbang di Perth, Australia, memberi seribu harapan buat masyarakat di seluruh dunia.

Di saat masyarakat sedang menunggu berita kesahihan mengenai penemuan itu, muncul pula jenaka daripada chef selebriti terkenal, Chef Wan.

Menerusi akaun, Instagramnya, Chef Wan telah berkongsi foto dan tulisannya menjurus kepada penemuan serpihan berkenaan.

Antara kata-katanya berbunyi, "2 'object' di Perth dan satu ni i ingatkan ya la sebahagian dari pintu kapal terbang MAS. Tapi setelah diteliti rupanya ianya sebahagian dari pintu jamban rumah Cik Kiah di pantai Morib yang telah usang rupanya. Adoi.. frustnya".

Walaupun ianya lebih kepada gurauan, namun tulisan Chef Wan nyata memberi renjatan buat masyarakat dan ramai yang berpendapat gurauan sebegitu sangat tidak bersesuaian dengan situasi sekarang.

Setelah menerima pelbagai bentuk kecaman dan kritikan daripada pengikut di laman sosialnya itu, Chef Wan bertindak memadam gambar berkenaan untuk tidak memanaskan isu ini lagi.

Tidak mahu memanjangkan perkara ini, Chef Wan juga turut memberi penjelasan mengenai tindakannya itu.

"Masa di pantai pagi tadi, saya beritahu semua kru untuk membuat gurauan dan sekali gus menduga reaksi masyarakat Malaysia yang suka melatah dan mengutuk orang.

"Pemandu saya kata, janganlah CW (Chef Wan), nanti orang cari sebab nak marahkan awak walaupun hanya bergurau.

"Kru-kru ketawa berderai dan saya letakkan gambar di IG (Instagram). Tak sampai 10 minit, penulis blog tempatan menghubungi saya. Betullah sangkaan saya, orang Malaysia suka cari sebab untuk burukkan orang walaupun ianya hanya gurauan
semata," katanya yang memberi penjelasan di laman berkenaan.

Terima kritikan

Tambah Chef Wan, apa sahaja kritikan yang dilemparkan, dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

Selain memberikan penjelasan kepada mereka yang kurang faham mengenai gurauan berkenaan, Chef Wan juga turut menempelak pihak lain yang gemar memanipulasikan isu seumpama ini.

"Saya dah beritahu cerita yang sebenar, dan selepas ini, kita lihat cara mereka (blog dan media) melatah dengan menyebarkan berita-berita ini dan melakukan fitnah pula.

"Let us see their true colors. Remember what i said at the end of the day, the wiseman will have the last laugh watching all this drama unfold," katanya lagi.

Sementara itu, anak perempuan chef terkenal ini, Serina Redzuawan, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan bapanya itu.

"Saya tak mahu komen apa-apa kerana bapa saya sudah pesan awal-awal agar saya tidak mencampuri urusan sebegini sehingga menjadi isu besar," katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment