Wednesday, 26 March 2014

MH370: Ganti rugi sudah pasti

MH370
Anggota keluarga penumpang pesawat MH370 dari Beijing tidak dapat menahan kesedihan ketika berjalan melintasi perkarangan Hotel Bangi-Putrajaya pada Selasa.
--fotoBERNAMA



KENAPA dan bagaimana pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 melencong daripada laluan asalnya menuju ke Beijing dan sampai ke titik akhirnya di selatan Lautan Hindi setakat ini masih misteri — belum diketahui, tidak pasti dan belum terjawab.

Tetapi apa yang pasti: waris penumpang dan anak kapalnya yang hilang bersama pesawat Boeing 777-200 itu berhak menerima bayaran ganti rugi daripada syarikat penerbangan negara. Ini termaktub di bawah perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Konvensyen Montreal dan merupakan amalan piawai setiap kali berlaku nahas seperti sebelum ini.

Peguam Mike Danko dari Amerika Syarikat berkata perjanjian itu meletakkan tanggungjawab kepada sesebuah syarikat penerbangan untuk membayar ganti rugi kepada waris apabila berlaku nahas kerana "kemalangan". Kemalangan ditakrifkan sebagai kejadian luar biasa atau luar jangkaan yang berlaku di luar kawalan penumpang.

"Sama ada nahas disebabkan oleh salah laku juruterbang yang sengaja, rampasan atau serangan pengganas — tidak kisah. Nahas itu dianggap sebagai satu kemalangan dan syarikat penerbangan bertanggungjawab," katanya dalam satu nota di laman web firmanya, Danko Meredith yang berpejabat di California, Amerika Syarikat.

Danko Meredith berpengalaman mengendalikan tindakan mahkamah waris mangsa nahas pesawat di Amerika Syarikat dan di beberapa negara lain.

Seorang lagi peguam yang berpengalaman dalam tuntutan seperti ini, Robert Hedrick berkata waris penumpang yang ingin membuat tuntutan tidak perlu menunggu siasatan selesai untuk membuktikan siapa yang bersalah sehingga menyebabkan nahas berlaku.

"Tuntutan itu boleh diteruskan kerana dibuat di bawah konvensyen," katanya dalam satu wawancara dengan Bloomberg Television.

Apa yang beliau maksudkan, dalam bahasa mudahnya ialah: bahawa sebuah nahas telah berlaku dan nahas itu menyebabkan mereka kehilangan seseorang; kehilangan itu pula dilindungi oleh undang-undang.

Apakah yang diperuntukkan oleh Konvensyen Montreal?

Artikel 17 konvensyen itu menyatakan sesebuah syarikat penerbangan bertanggungjawab terhadap kematian atau kecederaan penumpang akibat daripada kemalangan yang berlaku di atas pesawat.

Ganti rugi yang ditanggungnya pula adalah sekurang-kurangnya RM576,000 berdasarkan kepada hak pengeluaran khas (special drawing rights) yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa sebagai nilai tukaran mata wang dunia. Bagi tuntutan lebih daripada jumlah tersebut, syarikat penerbangan terlibat boleh membuktikan bahawa kemalangan yang terjadi bukan akibat kecuaiannya atau berpunca daripada kecuaian pihak lain.

Sejak kehilangannya pada awal pagi 8 Mac lalu, pelbagai teori dan spekulasi diketengahkan untuk mewaraskan kenapa dan bagaimana pesawat besar itu boleh ghaib — kononnya ia mungkin dirampas, kononnya ia mungkin terbakar, kononnya ada kemungkinan juruterbang berbuat khianat. Semua teori dan spekulasi itu, sekiranya terbukti, akan sangkut jadi tanggungjawab pihak yang tertentu.

Itu sebabnya ketika semua teori dan spekulasi itu berlegar dan beredar, MAS tidak memberikan sebarang jawapan yang konkrit — mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Kenapa?

Alasannya mudah. Apa saja jawapan daripada MAS ketika ini tentunya akan mengaitkan syarikat itu dengan tanggungjawabnya nanti. Ia tidak mahu mendedahkan diri kepada tindakan mahkamah bersabit dengan kenyataan-kenyataan itu. Selebihnya, belum ada sebarang bukti yang kukuh untuk merumuskan apa sebenarnya yang berlaku.

MAS setakat ini telah memberikan bantuan kewangan awal kepada waris iaitu sebanyak AS$5,000 bagi setiap penumpang. Ini bukan satu ganti rugi. Ini juga bukan satu pengakuan tanggungjawab. Ini bolehlah dianggap sebagai satu bayaran ihsan yang dinyatakan oleh MAS "untuk meringankan beban mereka yang terlibat".

"Kami sedia menawarkan bayaran tambahan ketika mana usaha mengesan ini diteruskan," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada sidang media di KLIA pada Selasa.

Artikel 28 Konvensyen Montreal memperuntukkan bahawa jumlah pampasan awal yang dibayar oleh sesebuah syarikat penerbangan kepada waris penumpang dan anak kapal boleh ditolak daripada jumlah penuh ganti rugi akhir yang diputuskan nanti. Ini bukan ganti rugi akhir.

Sehingga kotak hitam dijumpai, apa saja spekulasi akan tetap jadi spekulasi; apa saja teori akan tinggal jadi teori. Tanpa kita mengetahui kandungan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit, selama itulah kita hanya akan berteka-teki tentang apa sebenarnya yang terjadi.

Tetapi satu perkara yang pasti: setiap waris yang kehilangan akan mendapat ganti rugi.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment