Wednesday, 26 March 2014

CEO MAS: Hancur luluh hati saya

Ahmad Jauhari Yahya
Ahmad Jauhari Yahya


SEPANG - "Hancur luluh hati saya apabila mengenangkan kesedihan tidak tertanggung yang dialami keluarga terbabit dan tiada kata-kata yang dapat meredakan kesedihan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya.

Sejurus selepas sidang akhbar mengenai MH370 awal hari ini, Ahmad Jauhari berkata beliau bukan berkata demikian kerana kedudukannya sebagai CEO MAS, tetapi sebagai seorang bapa dan anak.

"Setiap anggota keluarga MAS mendoakan kesejahteraan 239 roh mereka yang menaiki MH370 dan orang yang mereka sayang pada hari yang memilukan ini. Kami (MAS) mendoakan kesejahteraan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," kata Ahmad Jauhari yang mengalirkan air mata apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman tentang nasib pesawat itu malam semalam.

Beliau berkata seluruh warga MAS turut berasa sedih dan pilu. "Sedih kerana kesemua mereka yang menaiki Penerbangan MH370 pada 8 Mac tidak akan dapat lagi berjumpa dengan keluarga masing-masing. Dan kini, keluarga terbabit terpaksa menjalani kehidupan tanpa orang yang mereka sayangi. Satu lagi perkara yang tidak patut dilupakan ialah 13 rakan kami dan rakyat Malaysia lain juga menaiki pesawat itu.

"Izinkan saya menyatakan dengan sejelas-jelasnya tentang peristiwa petang semalam bahawa satu-satunya motivasi bagi kami (MAS) ialah untuk memastikan bahawa dalam tempoh yang amat singkat, keluarga berkenaan dapat mendengar berita sedih itu sebelum dunia mendengarnya," kata beliau.

Beliau berkata dengan sedapat mungkin, MAS menyampaikan berita itu secara peribadi kepada keluarga terbabit atau melalui telefon dan menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) hanya sebagai langkah susulan untuk memastikan hampir 1,000 anggota keluarga terbabit mendapat berita itu dari syarikat penerbangan tersebut sendiri, bukan dari media.

Ahmad Jauhari berkata seperti orang lain, MAS juga menunggu berita itu daripada pihak berkuasa.

"Kita tahu bahawa walaupun terdapat banyak petunjuk ketara, namun tidak terdapat pengesahan tentang identiti sebarang serpihan yang diperkatakan itu. Sukar untuk meramalkan berapa lama masa yang perlu diambil. Tetapi, selepas 17 hari, pengumuman yang dibuat malam tadi dan dikongsi dengan keluarga terbabit, merupakan hakikat yang perlu kita terima sekarang," katanya.

Beliau berkata apabila MAS mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa penyiasatan, persiapan akan dibuat untuk membawa keluarga terbabit ke kawasan penemuan sekiranya mereka ingin berbuat demikian, tapi untuk waktu ini, mereka akan terus membantu siasatan yang sedang dijalankan. 

Sementara itu, Ahmad Jauhari mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari yang benar-benar bersifat global ini.

"Peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan ini menjadikan 18 hari lepas sebagai tempoh yang paling mencabar dan terpaksa diharungi oleh seluruh pasukan kami di MAS. Saya amat terharu dengan ketekunan, dedikasi, rasa prihatin yang diutuskan serta sokongan yang diberi oleh pasukan kami yang hebat ini.

"Kami tidak tahu kenapa dan kami tidak tahu bagaimana tragedi dahsyat ini terjadi. Tapi, sebagai keluarga MAS, kami mendoakan kesejahteraan untuk penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370," katanya. 

Setelah 17 hari gerakan mencari dan menyelamat dijalankan, semalam, Najib mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Beliau membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK dan Inmarsat, syarikat dari United Kingdom yang menyediakan data satelit berkenaan.

Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac. Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Bernama

No comments:

Post a Comment