JAKARTA: Ahli keluarga salah seorang penumpang MH370, Firman Siregar, masih percaya anaknya berada di dalam keadaan yang selamat dan bukan di Lautan Hindi.
Menurut laporan portal tempo.co, Krisman Siregar dan Herlina Panjaitan, ibu dan bapa kepada Firman Siregar mengaku sedih setelah menerima khabar melalui panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pihak Malaysia Airlines (MAS) yang menyatakan bahawa pesawat tersebut hilang dan berakhir di Lautan Hindi.
Walau bagaimanapun, mereka berkata bahawa mereka tidak yakin dengan berita itu.
"Setelah tiga minggu menunggu dan berharap, kami hanya mendapat khabar yang menyedihkan ini. Tetapi kami masih tidak percaya dengan laporan Malaysia Airlines dan pernyataan Perdana Menteri Malaysia itu," kata Krisman.
Mereka percaya dan berharap bahawa selagi bangkai pesawat masih belum ditemui di selatan Lautan Hindi, anak mereka masih hidup dan selamat.
"Kami tidak yakin Firman hilang di Lautan Hindi. Kami menganggap Firman masih selamat dan kini berada di China," tambah Krisman.
Krisman dan Herlina menolak tawaran untuk diterbangkan ke Australia namun mereka masih menunggu laporan rasmi dan bukti kehilangan pesawat tersebut di Lautan Hindi.
Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang dari radar pada 8 Mac 2014 lalu.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan pesawat tersebut berakhir di selatan Lautan Hindi.
ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment