Thursday, 27 March 2014

MH370: Dakwaan Malaysia salur maklumat tidak tepat tidak benar - Shabery


KUALA LUMPUR: Tuduhan media antarabangsa yang Malaysia menyalurkan maklumat tidak tepat berkaitan insiden kehilangan pesawat MH370 adalah tidak benar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebaliknya, beliau berkata pembabitan 26 buah negara dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat itu membuktikan negara lain percaya dengan maklumat dan cara Malaysia mengendalikan kejadian itu.

"Apabila insiden MH370 berlaku mungkin ada orang mencari alasan dan cuba mencari pihak untuk dipersalahkan, dalam hal ini tumpuan mereka pada Malaysia dan syarikat penerbangan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kompleks Angkasapuri di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong dan wakil jabatan serta agensi di bawah KKMM.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang laporan media asing yang cuba menyalahkan kerajaan berhubung penyaluran maklumat berhubung tragedi MH370 dan golongan selebriti Cina yang mengancam untuk memboikot produk komersial dan pelancongan Malaysia ekoran insiden itu.

Ahmad Shabery berkata perbezaan sistem komunikasi dan ketelusan sesebuah kerajaan dalam menyalurkan maklumat di negara terbabit mungkin menyebabkan timbulnya tuduhan menyalahkan kerajaan Malaysia dalam insiden itu.

"Misalnya dalam negara kita apa saja yang ditanya kita buat (jawab) secara terbuka dan ia tersebar di laman sosial seperti Facebook dan Twitter, ini berbeza dengan negara berkenaan yang tiada sistem sama seperti kita.

"Jadi sudah tentu timbul tanggapan bahawa ada konspirasi kita (kerajaan) menyembunyikan fakta, dalam konteks ini masih ada lagi yang percayakan teori tidak berasas yang digembar-gemburkan sama ada oleh media asing ataupun orang dalam negara kita," katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Berdasarkan kepada analisis menggunakan data satelit yang dijalankan oleh syarikat pengendali satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch di UK, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memuji Jabatan Penerangan Malaysia yang mengendalikan pusat media dan sidang akhbar dengan teratur sejak hari pertama insiden kehilangan pesawat MH370.

"Saya akan melihat kembali apakah 'template' yang kita gunakan dan bagaimana ia boleh disesuaikan dengan tuntutan semasa.

"Ini menuntut satu kreativiti, inovasi dan formula baharu iaitu bekerja sebagai satu pasukan dan bagaimana formula ini akan menjadi SOP untuk setiap permasalahan baharu yang timbul yang tidak pernah kita terfikir sebelum ini," katanya.

Mengulas tentang majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 peringkat KKMM Ahmad Shabery berharap semua kakitangan di setiap peringkat bekerjasama dan terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam setiap tugas yang dilaksanakan.

BERNAMA 

No comments:

Post a Comment