JAKARTA: Kempen politik bakal calon Presiden Indonesia dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Rhoma Irama, kecoh apabila berbelas orang pengsan ketika Raja Dangdut itu menyanyi di Lapangan Maron, Genteng, Banyuwangi pagi semalam.
Insiden tercetus ketika Rhoma yang diiringi Soneta Group, membuka kempen politiknya menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) 2014, dengan mendendangkan lagu berjudul 'Persatuan' dalam keadaan cuaca terik.
Walaupun cuaca panas, ia tidak menghalang ribuan penyokong PKB dan peminat setia penyanyi tersohor itu, untuk bersama-sama berjoget mengiringi persembahannya.
Ketika menyampaikan lagu kedua berjudul 'Bhinneka Tunggal Ika', seorang demi seorang penyokong penyanyi terkenal itu, yang majoritinya wanita jatuh pengsan.
Keadaan itu memaksa petugas keselamatan dan penyokong lain, segera mengusung keluar mereka yang pengsan dari padang yang penuh sesak itu.
Seorang penyokong PKB yang pengsan itu, Lisna berkata cuaca yang sangat terik menyebabkan dia tidak mampu bertahan sehingga membuatkannya rebah.
"Anak saya yang belajar di sekolah rendah juga ikut sama menghadiri kempen politik ini. Selepas Bang Rhoma nyanyi, orang ramai mula berjoget. Akhirnya saya dan anak terperangkap dalam kesesakan orang ramai," katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment